Jordan lulus undang-undang wajibkan semula khidmat tentera untuk remaja lelaki

Jordan lulus undang-undang wajibkan semula khidmat tentera untuk remaja lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMMAN: Parlimen Jordan mengundi memihak kepada undang-undang yang mengembalikan semula khidmat ketenteraan wajib untuk lelaki bermula awal tahun depan, beberapa dekad selepas perkhidmatan itu dihentikan, lapor media kerajaan.

Putera Mahkota Hussein bin Abdullah II pada Ogos mengumumkan pengembalian semula khidmat ketenteraan yang dimansuhkan pada 1991 bagi mempersiapkan golongan lelaki muda untuk berkhidmat kepada negara dan mempertahankannya.

Kerajaan kemudian merujuk rang undang-undang itu kepada Parlimen untuk diundi.

Selepas diluluskan, ia kini akan diratifikasi oleh Dewan Senat dan kemudian dikemukakan kepada Raja Jordan, Raja Abdullah II untuk kelulusan.

Agensi berita rasmi Petra melaporkan, Dewan Perwakilan sebulat suara meluluskan undang-undang pindaan bagi perkhidmatan negara dan simpanan dalam sesi mereka pada Isnin.

Sesi tersebut turut dihadiri Perdana Menteri, Jafar Hassan yang menegaskan undang-undang itu akan menjadi antara keutamaan kerajaan sebagai persiapan untuk pelaksanaannya pada awal Februari tahun depan.

Jurucakap kerajaan, Mohammed al-Momani sebelum ini berkata, program khidmat ketenteraan wajib itu menyasarkan pengambilan 6,000 lelaki yang akan mencapai umur 18 tahun menjelang Februari depan.

Katanya, mereka yang gagal melapor diri untuk khidmat ketenteraan itu bakal berdepan hukuman antara tiga bulan hingga satu tahun penjara.

Kerajaan menyasarkan untuk merekrut 10,000 lelaki setiap tahun.

Jordan menamatkan khidmat ketenteraan wajib pada 1991, tiga tahun sebelum ia menandatangani perjanjian damai dengan Israel pada 1994.

Mohammed bagaimanapun menafikan undang-undang baharu khidmat ketenteraan wajib itu ada kaitan dengan kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Ogos, di mana beliau dilihat menyatakan sokongan terhadap idea ‘Israel Raya’.

Istilah ‘Israel Raya’ merujuk kepada tafsiran wilayah berdasarkan kisah dalam Alkitab pada zaman Nabi Sulaiman, yang merangkumi bukan sahaja wilayah Palestin masa kini iaitu Gaza dan Tebing Barat yang diduduki tetapi juga sebahagian negara lain termasuk Jordan, Lubnan dan Syria.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN