TPG Telecom kaitkan kematian pelanggan dengan telefon 'lapuk' Samsung

TPG Telecom kaitkan kematian pelanggan dengan telefon ‘lapuk’ Samsung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: TPG Telecom Australia pada Selasa mengumumkan seorang pelanggannya meninggal dunia selepas telefon bimbit Samsung yang menggunakan perisian ‘lapuk’ gagal dihubungkan dengan talian kecemasan Triple Zero dan ketika itu tiada gangguan rangkaian berlaku.

Insiden ini berlaku dua bulan selepas dua gangguan panggilan kecemasan berturut-turut di Optus, penyedia telekomunikasi kedua terbesar negara itu yang menjejaskan ribuan orang dan dikaitkan dengan empat kematian.

Ia sekali gus mencetus siasatan Parlimen terhadap syarikat milik Singtel itu.

Kejadian tersebut meningkatkan tekanan terhadap penyedia telekomunikasi untuk menjamin akses tanpa gangguan kepada Triple Zero.

TPG Telecom, syarikat telekomunikasi ketiga terbesar negara itu berkata, seorang pelanggan di Sydney yang menggunakan perkhidmatan Lebara pada 13 November lalu tidak dapat membuat panggilan kecemasan Triple Zero menggunakan telefon Samsung mereka.

Media tempatan melaporkan, panggilan itu dibuat bagi pihak seorang ahli keluarga, yang kemudian meninggal dunia.

“TPG dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh perkhidmatan ambulans negeri pada Isnin, 17 November.

“Siasatan awal menunjukkan panggilan yang gagal disambungkan itu disebabkan peranti Samsung pelanggan beroperasi dengan perisian yang tidak serasi untuk membuat panggilan Triple Zero pada rangkaian,” kata TPG dalam satu kenyataan.

Samsung Australia tidak segera memberikan komen apabila diminta oleh Reuters.

Pihak Berkuasa Komunikasi dan Media Australia (ACMA) sedang mengumpul maklumat untuk menyiasat sama ada terdapat pelanggaran peraturan Triple Zero, menurut kenyataan pengawal selia itu.

Akhir bulan lalu, ACMA mendedahkan, beberapa peranti Samsung lama gagal bertukar ke rangkaian mudah alih alternatif apabila rangkaian utama tidak tersedia, sehingga menyebabkan percubaan menghubungi perkhidmatan kecemasan tidak berjaya.

Senarai yang diterbitkan dalam talian oleh syarikat pesaing, Telstra menunjukkan 11 peranti Samsung yang perlu diganti dan sekurang-kurangnya 60 lagi yang memerlukan kemas kini perisian bagi memastikan ia serasi dengan sistem panggilan kecemasan.

TPG berkata, rangkaian mudah alihnya beroperasi dengan baik dan tiada gangguan rangkaian ketika pelanggan di Sydney itu cuba membuat panggilan kecemasan.

Syarikat itu juga memaklumkan pelanggan yang menggunakan peranti usang supaya segera mengemas kini peranti mereka seawal 7 November.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN