Polis Israel robohkan pos kawalan penduduk haram Yahudi di Tebing Barat - Utusan Malaysia

Polis Israel robohkan pos kawalan penduduk haram Yahudi di Tebing Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Pasukan keselamatan Israel merobohkan pos kawalan haram di Tebing Barat, susulan siri insiden keganasan serius melibatkan penduduk haram Yahudi di kawasan berkenaan.

Operasi itu dilaksanakan di pos Tzour Misgavi, Gush Etzion, selatan Baitulmuqaddis.

Rakaman media Israel menunjukkan jentera berat digunakan bagi meruntuhkan struktur yang dibina tanpa kebenaran.

Langkah itu diambil ketika serangan oleh penduduk haram Yahudi terhadap penduduk Palestin, aktivis antipenempatan dan kadangkala tentera Israel sendiri semakin meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Kebanyakan insiden dikaitkan dengan peneroka yang menetap di pos kawalan haram.

COGAT, badan Israel yang menguruskan hal ehwal sivil di wilayah Palestin, dalam kenyataan menegaskan operasi pengosongan dilaksana mengikut undang-undang dan peraturan berkuat kuasa.

Menurutnya, aktiviti jenayah serta keganasan di lokasi berkenaan menjejaskan keselamatan kawasan sekitarnya.

Tentera Israel dan pentadbiran sivil COGAT berkata tindakan akan diteruskan bagi menegakkan undang-undang di Tebing Barat, termasuk merobohkan struktur haram yang disifatkan sebagai ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman awam.

Penempatan Israel di Tebing Barat adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa, manakala pos kawalan haram turut dilarang oleh undang-undang Israel.

Ketua Majlis Wilayah Gush Etzion, Yaron Rosenthal, dalam mesej video kepada penduduk, menjelaskan pembinaan pos itu tidak diselaraskan dengan mana-mana pihak berkuasa.

Keganasan di Tebing Barat terus meningkat sejak serangan Hamas pada Oktober 2023 mencetuskan perang Gaza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×