WASHINGTON: Meta memenangi satu tuntutan undang-undang selepas hakim di mahkamah Amerika Syarikat (AS) memutuskan syarikat teknologi itu tidak mempunyai monopoli dalam media sosial.
Kes ini dibawa oleh Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan AS (FTC) yang mahu Meta mengeluarkan Instagram dan WhatsApp daripada syarikat berkenaan.
FTC mendakwa Meta membeli pesaing baharu untuk menghapuskan persaingan. WhatsApp dibeli oleh Meta pada 2014 dengan harga AS$19 bilion (RM79 bilion) dan kehilangan satu daripada platform itu boleh memberi kesan besar kepada syarikat.
Hakim James Boasberg berkata, pasaran media sosial kini lebih kompetitif, terutamanya dengan kebangkitan TikTok selain FTC tidak mengambil kira YouTube sebagai pesaing penting.
“Walaupun YouTube diabaikan, hanya TikTok sudah menafikan kes FTC,” katanya.
Jennifer Newstead, pegawai undang-undang Meta berkata, tindakan FTC tidak masuk akal kerana cuba memecahkan syarikat besar Amerika, sedangkan TikTok yang dimiliki China terus berkembang.
Keputusan ini berbeza dengan beberapa kes lain, contohnya Google yang pernah didapati menguasai pasaran carian dan pengiklanan secara haram.
Kemenangan Meta melemahkan usaha kerajaan AS mengawal gergasi teknologi lain seperti Amazon dan Apple.
Dengan keputusan ini, Meta dapat mengekalkan kawalan terhadap Instagram dan WhatsApp, dua platform yang menyumbang sebahagian besar pendapatannya.
Keputusan ini memastikan Meta terus menjadi pemain utama dalam media sosial global tanpa diganggu oleh syarat pemisahan platform.










