PARIS: Seorang pengguna forum dalam talian di Eropah mencuri perhatian komuniti teknologi dan tenaga boleh diperbaharui selepas menjana elektrik rumahnya selama lapan tahun menggunakan lebih 1,000 bateri komputer riba terpakai.
Projek unik yang bermula hampir sedekad lalu itu kini diiktiraf sebagai contoh inovatif dalam usaha kitar semula bateri dan pengurangan sisa elektronik.
Glubux, seorang penggemar projek buat sendiri (DIY) di platform Second Life Storage, pada awalnya hanya merancang membina sistem kecil menggunakan panel solar dan beberapa bateri terpakai.
Pada 2016, dia berkongsi dirinya sudah menghasilkan sebahagian tenaga elektrik sendiri melalui panel solar 1.4 kilowatt (kW) bateri forklift lama 24V 460AH, serta sistem inverter dan pengawal caj Victron.
Namun, dalam usaha menambah kapasiti penyimpanan tenaga, Glubux mula mengumpul bateri komputer riba terpakai.
Dalam beberapa bulan, dia berjaya mengumpul 650 unit, angka yang kemudian meningkat kepada lebih 1,000 bateri. Keseluruhan sistem itu ditempatkan dalam sebuah gudang kira-kira 50 meter dari rumahnya bagi memastikan keselamatan dan memudahkan penyelenggaraan.
Pada peringkat awal, sistem berdepan cabaran apabila kadar nyahcas setiap sel bateri tidak sekata, menyebabkan ada bateri yang lemah lebih cepat berbanding yang lain.
Bagi mengatasi masalah tersebut, Glubux membuka setiap bateri komputer riba dan menyusun sel-sel baharu dalam rak khusus bagi memastikan kestabilan dan kecekapan tenaga.
Sistem kendalian Glubux bukan sahaja berfungsi dengan stabil, malah beroperasi tanpa henti selama lapan tahun tanpa satu pun sel bateri mengalami kegagalan.
Projek itu kini dianggap sebagai model alternatif bagi penggunaan semula bateri litium-ion, sekali gus membuka ruang baharu dalam usaha mengurangkan sisa elektronik global.










