Lebih 150 terkorban akibat banjir di Asia Tenggara - Utusan Malaysia

Lebih 150 terkorban akibat banjir di Asia Tenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lebih 150 Terkorban Banjir Landa Asia Tenggara

MEDAN: Angka korban akibat banjir besar yang melanda beberapa negara Asia Tenggara meningkat melebihi 150 orang hari ini, dengan Indonesia mencatat sekurang-kurangnya 111 mangsa terkorban, manakala sebuah hospital di selatan Thailand memaklumkan rumah mayatnya penuh.

Hujan lebat sejak beberapa hari lalu menenggelamkan bandar, memutuskan hubungan komunikasi dan menyebabkan ribuan penduduk terperangkap.

Di Sumatera, pihak berkuasa Indonesia berkata, banjir dan tanah runtuh yang berlaku minggu ini turut menyebabkan hampir 100 lagi penduduk hilang.

Polis berkata usaha tertumpu kepada operasi pemindahan dan penghantaran bantuan, namun akses ke beberapa kawasan masih terputus. Helikopter juga sukar digerakkan akibat cuaca buruk.

Di Medan, paras air mencecah pinggang dengan penduduk merayu kenderaan yang melalui kawasan banjir supaya memperlahankan kenderaan bagi mengurangkan limpahan air.

Di Sumatera Barat pula, seorang wanita dikenali sebagai Misniati menceritakan detik cemas bertarung arus deras ketika cuba pulang ke rumah, sebelum mendapati air hampir mencecah paras dada.

Pakar pemuliharaan di Indonesia pula menyalahkan pembangunan tidak terkawal sebagai punca utama kejadian banjir dan tanah runtuh menjadi lebih buruk.

Mereka memberi amaran kehilangan litupan hutan dan pembukaan kawasan untuk tanaman monokultur serta perlombongan menyebabkan ekosistem gagal mengawal aliran air seperti sebelumnya.

Thailand antara kawasan paling terjejas, khususnya di Hat Yai, apabila penduduk terpaksa menyelamatkan diri ke bumbung rumah.

Sekurang-kurangnya 55 mangsa dilaporkan terbunuh di Songkhla, dengan hospital utama terpaksa menggunakan trak sejuk beku sebagai ruang tambahan menyimpan mayat. Kerajaan turut menggantung tugas ketua daerah Hat Yai kerana didakwa gagal bertindak pantas.

Di Malaysia, dua kematian dilaporkan di Perlis selepas hujan berterusan menenggelamkan beberapa kawasan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN