Korea Utara hantar 5,000 askar pembinaan ke Russia

Korea Utara hantar 5,000 askar pembinaan ke Russia

KIM Jong Un memeluk seorang anggota tentera yang menyertai operasi ketenteraan membantu Russia di bangunan ibu pejabat Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja Korea (WPK) di Pyongyang.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Korea Utara menghantar kira-kira 5,000 anggota askar pembinaan ke Russia sejak September untuk membantu membina semula infrastruktur yang musnah akibat peperangan dengan Ukraine, lapor seorang ahli Parlimen Korea Selatan selepas taklimat oleh agensi risikan Seoul.

Ahli Parlimen Korea Selatan, Lee Seong Kweun memberitahu wartawan, sekitar 5,000 anggota pasukan pembinaan Korea Utara bergerak ke Russia secara berperingkat sejak September dan dijangka digunakan bagi kerja-kerja pembinaan semula infrastruktur di negara itu.

Katanya, tanda-tanda berterusan mengenai latihan serta pemilihan anggota bagi penempatan tambahan turut dikesan.

Agensi risikan turut memaklumkan ahli-ahli Parlimen, dianggarkan sekitar 10,000 tentera Korea Utara kini ditempatkan berhampiran sempadan Russia-Ukraine.

Sekurang-kurangnya 600 askar Korea Utara dilaporkan terbunuh dalam perang Ukraine dan ribuan lagi cedera, menurut anggaran Korea Selatan.

Penganalisis berkata, Korea Utara menerima bantuan kewangan, teknologi ketenteraan serta bekalan makanan dan tenaga daripada Russia sebagai balasan penghantaran tentera.

Ini membolehkan Pyongyang mengelak sekatan antarabangsa tegas berkaitan program nuklear dan peluru berpandunya, yang sebelum ini menjadi alat tawar-menawar penting dengan Amerika Syarikat (AS).

Pyongyang tidak membalas tawaran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk bertemu Jong Un minggu lalu, sebaliknya Menteri Luarnya,  Choe Son Hui bertolak ke Moscow, di mana beliau dan Presiden Russia, Vladimir Putin bersetuju untuk mengukuhkan hubungan dua hala.

Walaupun pertemuan yang dicadangkan dengan Trump tidak menjadi kenyataan, terdapat pelbagai tanda menunjukkan Pyongyang membuat persediaan di belakang tabir untuk kemungkinan rundingan dengan AS.

Kumpulan Pasukan Pemantauan Sekatan Pelbagai Hala dalam satu laporan bulan lalu berkata, Korea Utara merancang untuk menghantar 40,000 pekerja ke Russia, termasuk beberapa delegasi pekerja IT.

Di bawah sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pekerja Korea Utara dilarang memperoleh pendapatan di luar negara.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×