WASHINGTON: Penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) memasuki bulan kedua dengan kesannya semakin meluas apabila jutaan rakyat mula terjejas akibat gaji tertunggak, bantuan makanan terhenti dan perkhidmatan awam lumpuh sepenuhnya.
Punca utama krisis ini berpunca daripada pertikaian mengenai pembiayaan subsidi insurans kesihatan yang menjadikan rawatan mampu milik kepada lebih 20 juta rakyat.
Parti Demokrat enggan membuka semula kerajaan tanpa jaminan lanjutan subsidi tersebut, manakala Parti Republikan pimpinan Presiden Donald Trump menegaskan rundingan hanya akan diadakan selepas kerajaan kembali beroperasi.
Ketua Disiplin Parti Republikan di Dewan Perwakilan, Tom Emmer, memberi amaran rakyat bakal merasai kesan sebenar penutupan kerajaan mulai hujung minggu ini.
“Kebanyakan orang tidak menyedarinya sebelum ini kerana gaji tentera dibayar bulan lalu, namun minggu ini kesannya semakin terasa,” katanya kepada Fox News.
Program Bantuan Pemakanan Tambahan (SNAP) yang membantu 42 juta rakyat berpendapatan rendah membeli barangan runcit dijangka kehabisan dana pada hujung minggu.
Program bantuan makanan untuk wanita hamil dan bayi (WIC) serta program pendidikan awal kanak-kanak Head Start turut berdepan ditutup jika penutupan kerajaan berterusan.
Keadaan itu memaksa komuniti tempatan berganding bahu membantu keluarga yang memerlukan, termasuk membeli barangan keperluan harian.
Seorang penduduk Maryland, Kerry Chausmer, 55, berkata dia sanggup membelanjakan AS$200 bagi membantu dua keluarga yang terjejas.
“Cara sesebuah masyarakat membantu golongan paling memerlukan mencerminkan budayanya. Kita gagal dan saya malu menjadi rakyat AS,” katanya.
Perjalanan udara di seluruh negara terjejas teruk apabila lapangan terbang utama mengenakan sekatan akibat kekurangan kakitangan kawalan trafik udara. Kelewatan penerbangan mencecah antara satu hingga lima jam,
Sementara itu, Trump memberi jaminan akan menyelesaikan segera program bantuan kepada golongan memerlukan.










