Kematian pemuda Iran bakar gambar Ali Khamenei cetus pertikaian - Utusan Malaysia

Kematian pemuda Iran bakar gambar Ali Khamenei cetus pertikaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Kematian seorang pemuda Iran yang sebelum ini merakam dirinya membakar gambar Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, mencetuskan pertikaian hebat antara media rasmi kerajaan dan kumpulan aktivis mengenai punca sebenar kematiannya.

Portal berita tempatan yang dikawal kerajaan melaporkan, pemuda berkenaan, Omid Sarlak, berusia sekitar 20-an, ditemui mati dalam keretanya di wilayah barat Iran pada Sabtu dengan kesan tembakan di kepala serta kesan serbuk belerang pada tangannya.

Polis Iran mendakwa beliau meninggal dunia akibat membunuh diri namun, media pembangkang dan kumpulan aktivis mempertikaikan penjelasan itu dengan menyifatkan kematiannya mencurigakan kerana berlaku hanya beberapa jam selepas beliau menyiarkan video membakar gambar Khamenei di laman media sosialnya.

Rakaman berkenaan segera tular dan menjadikan Sarlak sebagai simbol penentangan terhadap kerajaan, dengan ramai aktivis lain meniru tindakannya sebagai tanda solidariti.

“Mereka bunuh juara saya di sini,” demikian menurut bapa Sarlak di dalam satu lagi video yang tersebar luas sementara suara lelaki lain kedengaran menyebut beliau telah dikepung dan ditembak.

Namun dalam temu bual yang kemudian disiarkan televisyen kerajaan, bapa Sarlak meminta orang ramai supaya tidak mempercayai apa yang tersebar di media sosial dan menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa kehakiman.

Kumpulan hak asasi manusia mendakwa kenyataan itu dibuat di bawah tekanan dan keluarga Sarlak kini diawasi pihak keselamatan.

Ratusan orang menghadiri upacara pengebumian Sarlak pada Isnin lalu, dengan penunjuk perasaan melaungkan slogan seperti “Matilah diktator” dan “Matilah Khamenei”.

Dalam satu hantaran terakhirnya di platform Instagram, Sarlak menulis: “Berapa lama lagi kita harus menanggung kehinaan dan kemiskinan ini? Inilah masa untuk bangkit, wahai anak muda. Golongan ulama ini hanyalah sungai yang harus diseberangi oleh generasi muda Iran.”

Insiden itu membangkitkan semula kemarahan rakyat yang masih segar dengan kes Mahsa Jina Amini, wanita Kurdi yang meninggal dunia dalam tahanan polis moral pada tahun 2022, sekali gus mencetuskan gelombang protes besar-besaran di seluruh negara. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×