‘Kami terpaksa pilih siapa yang mahu diselamatkan di Darfur’ - Utusan Malaysia

‘Kami terpaksa pilih siapa yang mahu diselamatkan di Darfur’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Petugas kemanusiaan di Darfur, Sudan kini terpaksa memilih siapa yang hendak diselamatkan berikutan kekurangan sumber yang semakin kritikal, demikian menurut Ketua Logistik Handicap International, Jerome Bertrand kepada AFP.

Lebih dua tahun sejak perang tercetus antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), keperluan di Darfur kini mencapai tahap luar biasa, kata Bertrand.

“Kami terpaksa memilih siapa yang kami selamatkan dan siapa yang tidak. Ia bertentangan dengan nilai kami,” katanya selepas pulang daripada misi tiga minggu menilai operasi bantuan di wilayah itu.

Menurutnya, pasukan bantuan kini memberi keutamaan kepada kanak-kanak, wanita hamil dan ibu menyusu dengan harapan golongan lain dapat bertahan.

Perang yang bermula pada April 2023 itu telah mengorbankan puluhan ribu orang dan memaksa hampir 12 juta penduduk melarikan diri, menjadikan Sudan mencatat krisis perpindahan dan kebuluran terbesar di dunia ketika ini, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Keadaan di Darfur bertambah buruk sejak RSF menawan El-Fasher, kubu terakhir tentera Sudan di Darfur Utara pada 26 Oktober lalu di mana Inisiatif Pengelasan Fasa Keselamatan Makanan (IPC) mengesahkan wilayah itu kini berdepan kebuluran yang telah melanda kem-kem pelarian di kawasan terbabit lebih setahun.

Bertrand berkata kumpulan bantuan sedang berusaha memenuhi keperluan mendesak tanpa sebarang infrastruktur berfungsi.

Lapangan terbang di Darfur tidak lagi boleh menerima bantuan, jalan raya sukar dilalui dan satu-satunya laluan masuk melalui Chad pula dipenuhi halangan pentadbiran, kos tinggi dan kekurangan dana antarabangsa.

Beliau menggambarkan Darfur sebagai kawasan sebesar Perancis dengan 11 juta penduduk tetapi bekalan bantuan terpaksa digerakkan menggunakan belakang keldai, dengan situasi dicengkam anarki, kejatuhan total agensi kerajaan, jenayah bersenjata dan ancaman keselamatan termasuk pemerasan, rompakan, serangan dan penahanan.

Penggantungan sebahagian bantuan Amerika Syarikat (AS) pula menyebabkan kehilangan 70 peratus bantuan ke Darfur, menyebabkan hanya suku daripada keperluan sebenar dapat dipenuhi. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN