BERLIN: Jerman kini selangkah ke arah membangunkan angkatan tentera terkuat di Eropah selepas kerajaan memperkenalkan rang undang-undang baharu yang dijangka mengubah landskap pertahanan negara itu.
Rang undang-undang yang dipersetujui minggu lalu merupakan usaha Jerman mengukuhkan angkatan tenteranya dalam mendepani ancaman, termasuk dari Russia serta perubahan ketara dasar luar Amerika Syarikat (AS).
Di bawah pembaharuan menyeluruh itu, Jerman mahu meningkatkan kekuatan kepada 260,000 anggota tentera, berbanding kira-kira 180,000 ketika ini, selain tambahan 200,000 anggota simpanan menjelang 2035.
Pada peringkat awal, usaha itu akan menumpukan kepada pengambilan sukarela, dengan insentif lebih besar ditawarkan kepada mereka yang mendaftar, termasuk gaji permulaan 2,600 euro (RM12,404) sebulan, meningkat 450 euro (RM2,146) berbanding kadar semasa.
Jika sasaran pengambilan itu gagal dipenuhi, kerajaan mempunyai pilihan untuk melaksanakan kerahan wajib mengikut keperluan.
Bermula tahun depan, semua remaja berusia 18 tahun akan menerima borang soal selidik mengenai minat mereka untuk berkhidmat dan diwajibkan untuk lelaki.
Mulai 2027, lelaki berusia 18 tahun juga diwajibkan menjalani pemeriksaan perubatan.
Langkah itu diperkenalkan ketika pentadbiran Presiden Donald Trump menegaskan Eropah perlu mengambil tanggungjawab terhadap keselamatannya sendiri dan perang berlarutan antara Russia-Ukraine.
Pakar keselamatan sebelum ini juga memberi amaran Moscow berpotensi menyerang negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Felo bersekutu dalam Program Eropah di badan pemikir Chatham House yang berpangkalan di London, Minha Alander, percaya Jerman berpotensi memainkan peranan penting dalam pertahanan konvensional Eropah, memandangkan lokasi geografinya yang berpusat.
“Jika rancangan itu mencapai jumlah anggota baharu itu menjadi kenyataan, ia akan memberi manfaat besar kepada Eropah. Namun, itu hanya mungkin berlaku sekitar tahun 2030-an,” katanya.
KERAHAN ‘ALA LOTERI’
Namun, persoalan sama ada langkah itu akan berlaku tidak lama lagi masih belum dapat dipastikan.
Ketua Pertahanan Jerman, Jeneral Carsten Breuer, dalam temu bual bersama BBC pada Jun lalu berkata, NATO harus bersiap sedia menghadapi kemungkinan serangan Russia dalam tempoh empat tahun akan datang atau seawal 2029, sambil menggesa semua negara anggota meningkatkan kesiapsiagaan.
Sebelum rang undang-undang baharu itu dimuktamadkan, rakan gabungan Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) dan Kesatuan Demokratik Sosial (SPD) berdebat selama berminggu-minggu mengenai bentuk perkhidmatan ketenteraan yang wajar diperkenalkan.
Antara idea yang diperkenalkan adalah ‘kerahan tentera ala loteri’, dengan mencadangkan proses pemilihan secara cabutan undi untuk menentukan individu menjalani pemeriksaan perubatan, diikuti satu lagi cabutan bagi memilih mereka yang akan dipanggil berkhidmat.
Cadangan tersebut akhirnya dibatalkan oleh Menteri Pertahanan, Boris Pistorius, yang menegaskan usaha menarik penyertaan harus bergantung pada insentif, termasuk gaji permulaan lebih tinggi dan pampasan kewangan lain.
Jerman sebelum ini pernah melaksanakan khidmat ketenteraan wajib bagi lelaki berusia 18 hingga 23 tahun, namun dasar itu digantung pada 2011 apabila negara beralih kepada angkatan tentera sukarela sepenuhnya.
Rang undang-undang baharu ini masih perlu diluluskan oleh Parlimen Jerman, Bundestag, dengan undian dijangka berlangsung sebelum akhir tahun.
Jika diluluskan, ia dijangka berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
Pistorius menyambut baik langkah itu dan mencadangkan sistem ketenteraan baharu Berlin boleh menjadi contoh kepada sekutu Eropah lain.
“Semua orang sedang memerhati apa yang kita lakukan. Saya berhubungan baik dengan Perdana Menteri Perancis, Sebastian Lecornu, serta tentunya dengan United Kingdom dan negara lain.
“Model kerahan tentera baharu kita adalah sangat moden. Dan ia mungkin boleh menjadi contoh bagi negara lain juga. Saya tidak pasti, tetapi mungkin,” katanya.
BANTAHAN POLITIK KIRI JERMAN
Bagaimanapun, perubahan tersebut masih menjadi perdebatan, dengan ramai pihak, terutama daripada kubu politik kiri Jerman, tidak bersetuju dengan pengenalan semula kerahan wajib.
Tinjauan pendapat Forsa yang diterbitkan oleh akhbar Die Welt pada Oktober, menunjukkan 80 peratus pengundi parti kiri Die Linke menolak idea tersebut.
Namun, Alander percaya mencapai kuota tanpa menggunakan kerahan wajib bukanlah sesuatu yang mustahil, memandangkan saiz populasi Jerman.
“Jika kerajaan serta angkatan tentera berjaya meningkatkan persepsi terhadap tentera dan memotivasi golongan muda untuk mula melihat khidmat ketenteraan sebagai pilihan biasa, sasaran itu boleh dicapai hanya melalui penyertaan sukarela.
“Kebimbangan saya ialah jika khidmat ketenteraan wajib dikenakan ke atas populasi yang skeptikal, ia boleh mendorong lebih ramai golongan muda ke sayap kanan dan kiri yang esktrem,” katanya kepada CNN.
Angkatan tentera Jerman atau Bundeswehr, sudah lama mengalami kekurangan dana kronik sejak era Perang Dingin.
Selama tiga dekad selepas kejatuhan Tembok Berlin, perbelanjaan ketenteraan kekal di bawah dua peratus daripada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK), lebih rendah daripada sasaran NATO, disebabkan kekurangan ancaman, stigma terhadap kekuatan tentera Jerman pemikiran penentang perang yang kuat selepas era Nazi.
Di tengah seruan di Eropah untuk ‘bersedia menghadapi perang’, negara itu mengubah pendekatan keselamatannya.










