WASHINGTON: Isu pembunuhan kolumnis Jamal Khashoggi kembali mencetuskan perhatian apabila Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman (MBS) ditanya soalan sensitif itu ketika bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Rumah Putih, kelmarin.
Lawatan itu merupakan yang pertama oleh Mohamed ke AS sejak insiden pembunuhan tersebut berlaku pada 2018.
Kes Khashoggi yang ketika itu menggemparkan dunia Arab dan mencalar reputasi Arab Saudi, dibangkitkan semula apabila seorang wartawan bertanya mengenai pembunuhan dan kononnya mayat mangsa dileraikan di Konsulat Saudi di Istanbul.
Soalan berkenaan mencetuskan ketegangan dalam Pejabat Oval apabila Trump mempertahankan tetamunya sambil mendakwa putera mahkota itu ‘tidak tahu apa-apa’ mengenai operasi tersebut.
Trump mengecam wartawan berkenaan kerana didakwanya ‘memalukan’ Mohamed, malah menyifatkan Khashoggi sebagai ‘sangat kontroversi’.
“Banyak pihak tidak menyukai individu (Khashoggi) yang anda tanya itu dan sama ada suka atau tidak, putera mahkota tidak mengetahui apa-apa mengenainya (pembunuhan).
“Anda jangan memalukan tetamu kita dengan bertanya soalan seperti itu,” kata Trump.
Kenyataan itu sekali lagi menonjolkan percanggahan antara pendirian Trump dan laporan perisikan AS pada 2021 yang menyimpulkan Mohamed mengarahkan pembunuhan tersebut.
Mohamed dalam reaksinya sebelum ini menyifatkan pembunuhan Khashoggi sebagai sesuatu yang ‘menyakitkan’ dan ‘kesilapan besar’, namun kenyataan itu tidak meredakan kritikan.
Balunya, Hanan Elatr Khashoggi, menegaskan tiada justifikasi untuk pembunuhan suaminya dan menggesa Mohamed bertemu dengannya bagi memohon maaf serta memberi pampasan.
Walaupun isu Khashoggi kembali mencetuskan perhatian, kedua-dua pemimpin tetap meneruskan agenda diplomatik mereka.
AS dan Arab Saudi memeterai beberapa perjanjian strategik termasuk kerjasama tenaga nuklear awam, penjualan pesawat pejuang F-35 serta perkongsian teknologi kecerdasan buatan, yang dilihat mengeratkan hubungan dua hala.
Trump yang jelas berusaha menarik sokongan Riyadh, memuji Mohamed sebagai ‘rakan baik’ dan ‘luar biasa dalam aspek hak asasi manusia’.










