Jangan lupakan genosid di Sudan

Jangan lupakan genosid di Sudan

DERETAN khemah yang didirikan oleh pelarian Sudan di Tawila selepas mereka meninggalkan bandar El-Fasher. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketika dunia memberi tumpuan penuh kepada konflik Gaza, pergolakan di Sudan yang bermula sejak 2023 terus berlaku tanpa liputan meluas, menyebabkan ribuan mangsa termasuk wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa kekejaman yang tidak terbayang.

Seorang warga Sudan yang kini menetap di negara ini, Hussam Shamseldin Zenalabdin Mohamed Ali, 35, berkata, episod keganasan seksual dan penyeksaan semakin menjadi-jadi, terutamanya terhadap mangsa wanita dan kanak-kanak.

“Kes rogol berlaku di mana-mana. Ada kes yang sangat dahsyat melibatkan gadis, keluarga, malah kanak-kanak.

“Ini bukan sekadar pembunuhan. Mereka menyeksa, merogol wanita, membunuh lelaki serta kanak-kanak yang tidak berdosa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, Sudan terperangkap dalam krisis kemanusiaan yang disifatkan paling buruk di dunia saat ini, serta memerlukan bantuan global dan tindakan lebih tuntas daripada masyarakat antarabangsa.

Konflik besar di Sudan bermula sejak 15 April 2023, melibatkan Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) dan Pasukan Tentera Separa (RSF).

Konflik ini berpunca daripada ketegangan yang meningkat sejak penggulingan Presiden, Omar al-Bashir pada 2019, terutamanya ketidaksepakatan mengenai pembaharuan sektor keselamatan dan penggabungan RSF ke dalam SAF.

Hussam yang berasal dari Khartoum berkata, tindakan kumpulan bersenjata bukan sahaja tertumpu kepada pembunuhan, tetapi turut melibatkan penderaan terhadap mangsa.

“Jika seseorang dibunuh, itu pun sudah boleh dianggap ‘belas kasihan’. Tetapi apa yang berlaku lebih teruk daripada itu.

“Mereka melakukan jenayah terhadap tubuh dan maruah mangsa. Kanak-kanak juga diperhambakan. Keadaannya benar-benar kejam,” luahnya.

DUNIA ABAI SUDAN?

Situasi semakin meruncing apabila dunia seakan-akan melupakan Sudan, meskipun perang di negara itu bermula lebih awal daripada konflik Gaza.

“Sudan memerlukan perhatian dunia. Sejak perang bermula dua tahun lalu, liputan media terhadap Sudan sangat kurang.

“Semua fokus isu Gaza. Disebabkan sokongan global terhadap Gaza begitu kuat, Sudan seolah-olah hilang daripada radar media antarabangsa,” tambahnya.

Hussam berkata, perang di Sudan mula tercetus pada 2023, setahun lebih awal daripada konflik Gaza yang bermula 2024, namun tahap pendedahan media terhadap dua konflik itu sangat berbeza.

Katanya, konflik yang berlarutan itu kini menyebabkan jutaan rakyat Sudan kehilangan tempat tinggal termasuk ahli keluarganya sendiri, terdedah kepada penderaan, kemiskinan ekstrem serta risiko kelaparan.

“Semua ahli keluarga saya sudah menyelamatkan diri dengan menuju ke negara lain. Mula-mula, mereka pergi ke Mesir, kemudian ke Arab Saudi sebab kakak saya tinggal di negara itu.

“Selepas itu, mereka melarikan diri ke Oman sebelum akhirnya menjejakkan kaki ke Malaysia. Saya masih berhubung dengan rakan-rakan di Sudan terutamanya yang tinggal di bahagian utara, Khartoum dan Darfur,” katanya.

JUMLAH PELARIAN MENINGKAT

Lebih 81,000 penduduk terpaksa meninggalkan bandar El-Fasher dan kampung berhampiran di negeri Darfur Utara, Sudan sejak 26 Oktober akibat pertempuran berterusan, menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM).

IOM berkata, angka sementara itu dianggarkan melalui Displacement Tracking Matrix dan boleh berubah selaras dengan keadaan keselamatan yang tidak menentu serta perpindahan penduduk yang berlaku dengan cepat.

Majoriti mereka yang terpaksa berpindah masih berada di kawasan El-Fasher, manakala sebahagian kecil berpindah ke lokaliti Kabkabiya, Mellit, Kutum dan Tawila.

Pasukan lapangan melaporkan keadaan jalan yang sangat tidak selamat, menyukarkan pergerakan, manakala situasi keselamatan di kawasan terbabit tegang dan mudah berubah.

Pengambilalihan El-Fasher oleh RSF pada 26 Oktober turut disertai pembunuhan orang awam, mencetuskan amaran kawalan itu boleh mengekalkan pembahagian geografi negara.

UNICEF memberi amaran keluarga yang melarikan diri ke Tawila menghadapi keperluan yang semakin meningkat lebih cepat daripada sumber tersedia.

Mereka tiba dalam keadaan letih, lapar dan memerlukan bantuan segera, termasuk pemakanan terapeutik, air bersih serta perkhidmatan kesihatan untuk kanak-kanak.

RSF kini menguasai semua lima negeri di Darfur kecuali beberapa kawasan utara di Darfur Utara yang masih di bawah kawalan tentera Sudan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN