SANAA: Mahkamah khas di Yaman menjatuhkan hukuman mati terhadap 17 individu yabg didakwa terlibat kegiatan pengintipan bagi pihak Israel serta sekutu Baratnya.
Menurut media dikawal Houthi, Mahkamah Jenayah Khas di Sana’a menjatuhkan hukuman berkenaan pada pagi Sabtu terhadap sel pengintip dalam rangkaian perisikan yang bersekutu dengan agensi Amerika Syarikat (AS), Israel dan Arab Saudi.
Hukuman itu dilaksanakan secara tembakan oleh skuad penembak dan dihadapan umum sebagai amaran, menurut agensi berita Saba yang turut menyiarkan senarai nama mereka yang terlibat.
Selain itu, seorang wanita dan seorang lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, manakala seorang lagi tertuduh dibebaskan, menjadikan keseluruhan 20 orang dibicarakan dalam kes tersebut.
Media Houthi melaporkan para tertuduh didakwa melakukan pengintipan untuk negara asing yang memusuhi Yaman sepanjang 2024 dan 2025, melibatkan Israel, AS, Arab Saudi dan Britain.
Menurut laporan Houthi, agensi perisik Israel, Mossad, didakwa mengarah pegawai risikan yang berhubung dengan rakyat Yaman terbabit, dan maklumat diberikan mereka kononnya membawa kepada penyasaran beberapa lokasi ketenteraan, keselamatan dan awam, mengakibatkan pembunuhan puluhan orang serta kemusnahan besar infrastruktur.
Serangan balas AS dan Britain turut menjadi latar dalam kes ini, apabila kedua-dua negara itu melancarkan puluhan serangan udara bersama di seluruh Yaman sejak perang Israel ke atas Gaza bermula pada Oktober 2023.
Serangan itu dilakukan ketika Houthi meningkatkan serangan terhadap Israel dan laluan perkapalan antarabangsa di Laut Merah sebagai tanda sokongan terhadap Palestin.
Kumpulan Houthi, yang menguasai Sana’a dan kawasan utara Yaman sejak lebih sedekad lalu, tidak menyebut sebarang kaitan kes terbaharu ini dengan agensi antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Namun, sejak kebelakangan ini, Houthi semakin agresif menyerbu pejabat-pejabat PBB dan NGO, menahan puluhan kakitangan termasuk staf antarabangsa serta merampas peralatan.
Walaupun tindakan itu mengundang kecaman antarabangsa, Houthi mendakwa ia dilakukan bagi menghalang operasi risikan Israel di Yaman. -AGENSI










