LISBON: Dengan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dijangka tamat perkhidmatan pada 2030, syarikat aeroangkasa Amerika, Vast, kini memasuki perlumbaan sengit untuk membangunkan stesen angkasa komersial pertama di dunia.
Haven-1, sebuah stesen mini yang dijadual dilancarkan pada Mei 2026, direka untuk keselesaan kru angkasa. Menurut Andrew Feustel, bekas angkasawan NASA dan kini penasihat Vast, stesen itu mempunyai jangka hayat tiga tahun dan akan menempatkan beberapa kru seramai empat orang secara bergilir.
Syarikat berpangkalan di California itu, ditubuhkan oleh jutawan Jed McCaleb pada 2021, berhasrat menggantikan ISS dengan Haven-2, versi lebih besar stesen pertama.
Namun, Vast berdepan persaingan sengit daripada Axiom Space, Voyager Space yang bekerjasama dengan Airbus, serta Blue Origin milik Jeff Bezos.
Harapan syarikat itu tertumpu kepada peluang mendapatkan pembiayaan daripada NASA sehingga AS$1.5 bilion bagi pembangunan stesen angkasa komersial, yang dijangka diumumkan pada April 2026.
Menurut Ugo Bonnet, pengarah Spaceflight Institute, agensi angkasa kini tidak lagi mahu mengurus infrastruktur ISS dan ingin menumpukan kepada misi berawak ke Bulan.
Usaha sama Perancis-Itali, Thales Alenia Space, bakal menghantar dua modul bertekanan pertama bagi stesen Axiom, yang dijangka beroperasi seawal 2028. Syarikat itu juga pernah menghasilkan separuh modul bertekanan ISS, namun cabaran utama mereka adalah kekal kompetitif dari segi harga.
Vast merancang menghantar Haven-1 ke angkasa menggunakan roket Falcon 9 milik SpaceX, sementara misi komersial Axiom akan menggunakan kapsul Crew Dragon.
Bonnet menjelaskan, kos penghantaran seberat satu kilogram ke angkasa dijangka turun daripada AS$60,000 dahulu kepada kurang AS$200 apabila Starship SpaceX mula beroperasi pada 2030.
Feustel menegaskan, Vast mahu menjadi penyedia perkhidmatan bukan sahaja untuk kerajaan AS, tetapi juga semua negara yang ingin menghantar angkasawan untuk latihan dan penyelidikan.










