GENEVA: Hampir sejuta botol susu bayi dan kira-kira 1.6 juta picagari masih dihalang daripada memasuki Gaza oleh pihak berkuasa Israel.
Menurut Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), sekatan itu menyukarkan agensi bantuan untuk menyampaikan keperluan kritikal kepada kanak-kanak di wilayah tersebut, termasuk melaksanakan kempen imunisasi besar-besaran yang tertangguh akibat perang sejak dua tahun lalu.
Jurucakap UNICEF, Ricardo Pires berkata, pihaknya berdepan kesukaran untuk membawa masuk lebih sejuta picagari ke Gaza, bersama peti sejuk berkuasa solar bagi menyimpan botol vaksin.
“Kedua-dua picagari dan peti sejuk itu dianggap sebagai kegunaan dua hala oleh Israel, dan kami mendapati amat sukar untuk mendapatkan kelulusan serta melepasi pemeriksaan. Namun ia sangat diperlukan,” katanya pada taklimat media di Geneva pada Selasa.
Bekalan picagari berkenaan terkandas di bahagian kastam sejak Ogos lalu, kata UNICEF.
Istilah ‘dua hala’ merujuk kepada barangan yang Israel anggap boleh mempunyai kegunaan ketenteraan selain tujuan sivil.
Sebelum ini, agensi kerajaan Israel yang mengawasi aliran bantuan ke Gaza, COGAT, menegaskan tidak mengehad kemasukan makanan, air, bekalan perubatan dan perlindungan.
Ahad lalu, UNICEF melancarkan pusingan pertama kempen imunisasi pemulihan untuk lebih 40,000 kanak-kanak di bawah usia tiga tahun yang terlepas vaksin rutin polio, campak dan pneumonia.
Pada hari pertama kempen tersebut, lebih 2,400 kanak-kanak berjaya menerima beberapa jenis vaksin.
“Kempen vaksinasi kini bermula, tetapi kami masih ada dua pusingan lagi dan untuk itu kita memerlukan lebih banyak bekalan,” kata Pires.
UNICEF berkata, lebih banyak bantuan kemanusiaan kini sampai ke Gaza, tetapi barangan kritikal masih dihalang oleh pihak berkuasa Israel termasuk 938,000 botol susu bayi sedia diminum dan alat ganti untuk trak air.
“Hampir sejuta botol yang sepatutnya sampai kepada kanak-kanak yang sedang mengalami pelbagai tahap kekurangan zat makanan,” katanya.
Gencatan senjata pada 10 Oktober sepatutnya membolehkan kemasukan bantuan besar-besaran ke wilayah itu, namun agensi bantuan berulang kali memaklumkan jumlah tersebut masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan dua juta penduduk Gaza.










