TEBING BARAT: Tentera Israel ‘mengimport’ perang di Gaza ke Tebing Barat apabila melancarkan operasi besar-besaran di wilayah itu, menyaksikan insiden tembakan terhadap rakyat Palestin dan memaksa perpindahan penduduk.
Tentera Zionis melancarkan satu operasi baharu yang menyasarkan kumpulan pejuang Palestin di Tebing Barat sejak Rabu lalu, menyaksikan banyak serbuan dilakukan di kawasan bandar dan perkampungan.
Dalam kenyataan, tentera Israel, polis dan perkhidmatan keselamatan dalaman mengumumkan permulaan ‘operasi pembanterasan keganasan secara besar-besaran’ di utara wilayah Palestin itu selepas menerima risikan mengenai ‘percubaan menubuhkan kubu pengganas’.
Operasi yang bermula pada waktu malam itu disusuli serangan udara bagi mengasingkan kawasan terlibat sebelum pencarian dilakukan di darat, dengan beberapa suspek disoal siasat dan sejumlah dana dirampas.
Tentera Israel turut mengesahkan mereka menembak mati seorang lelaki yang ‘membaling bahan letupan ke arah anggota pasukan’ di kawasan Qabatiya, dalam wilayah Jenin yang bersempadan dengan Tubas.
Israel menyatakan operasi ini adalah baharu dan tidak berkait dengan operasi besar yang dilancarkan pada Januari 2025 yang menumpukan serangan terhadap kem pelarian Palestin di utara Tebing Barat.
Gabenor Tubas, Ahmed al-Asaad berkata, ini merupakan kali pertama seluruh wilayahnya diletakkan di bawah operasi tentera Israel.
Katanya, bandar Tammun, Tayasir serta kem pelarian Al-Faraa diserbu, sementara jalan masuk ke bandar ditutup dengan timbunan tanah sehingga menyebabkan pergerakan terhenti sepenuhnya.
Asaad turut mendakwa sebuah helikopter Apache terlibat dalam operasi tersebut dan menembak ke arah kawasan kediaman, sambil menyifatkan tindakan Israel itu sebagai ‘operasi politik, bukan keselamatan’.
PERINTAH BERKURUNG
Seorang jurugambar AFP melihat tentera Israel berkeliaran di Tubas dengan kenderaan berperisai dan dron pengawasan berada di udara. Kebanyakan premis perniagaan ditutup.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin melaporkan 10 orang cedera, empat daripadanya dibawa ke hospital.

Pejabat Kemanusiaan PBB (OCHA) pula memaklumkan perintah berkurung dikenakan di kawasan berkenaan dan sekurang-kurangnya dua dozen keluarga diarahkan mengosongkan rumah apabila tentera Israel mengambil alih premis mereka.
Kumpulan pejuang Hamas dan Jihad Islam mengecam operasi tersebut, dengan Hamas menyifatkannya sebagai sebahagian dasar untuk ‘menghapuskan kewujudan Palestin bagi menguasai sepenuhnya Tebing Barat’.
TEMBAK, PAKSA PINDAH
Pasukan keselamatan Israel menyiasat insiden dua lelaki Palestin ditembak mati di Jenin ketika mereka mahu menyerah diri kepada anggota tentera.
Dalam kejadian yang dirakam dari beberapa sudut, termasuk oleh agensi berita AFP, dua lelaki berkenaan dikenal pasti sebagai Yussef Ali Asa’sa, 37, dan Al-Muntasir Billah Mahmud Abdullah, 26.
Pihak Berkuasa Palestin mengecam insiden itu sebagai satu ‘pembunuhan kejam’ dan menuduh Israel melakukan jenayah perang.
Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben Gvir, pula mempertahankan tindakan pasukan keselamatan dengan menyatakan ‘pengganas mesti mati’.
Rakaman video yang tular menunjukkan kedua-dua lelaki keluar dari sebuah bangunan dengan tangan terangkat sebelum diarahkan masuk semula ke dalam premis tersebut. Tembakan kemudian kedengaran dan kedua-duanya terbaring di lantai.
Imej AFP dari lokasi memaparkan lantai bangunan berlumuran darah, manakala orang ramai membersihkan sisa runtuhan selepas kejadian.
Tentera dan polis Israel berkata, operasi itu menyasarkan individu dikehendaki yang terlibat dalam aktiviti keganasan termasuk membaling bahan letupan dan melepaskan tembakan.
Lebih 32,000 penduduk Palestin dipaksa meninggalkan kediaman mereka akibat operasi ketenteraan Israel yang berterusan di kem pelarian di utara Tebing Barat, menurut UNRWA.
Serangan besar-besaran tentera Israel bermula di kem pelarian Jenin pada 21 Januari sebelum merebak ke kem Tulkarem dan Nur Shams serta beberapa kawasan lain di utara Tebing Barat.
Pengarah Urusan UNRWA bagi Tebing Barat, Rolan Friedrich berkata, operasi ketenteraan itu mengosongkan ketiga-tiga kem pelarian tersebut, menyebabkan 32,000 penduduk hilang tempat tinggal.
“Walaupun kampung ini sudah menjadi ‘bandar hantu’, pasukan Israel masih mengeluarkan arahan perobohan dengan alasan kononnya demi ‘tujuan ketenteraan’,” katanya.
Menurut Friedrich, pihak berkuasa Israel mengeluarkan dua arahan perobohan besar melibatkan lebih 190 bangunan di kem pelarian Jenin, manakala 12 bangunan lagi dijangka dirobohkan dalam beberapa hari akan datang.
KEGANASAN MENINGKAT
Keganasan di Tebing Barat terus meningkat sejak genosid Gaza tercetus pada Oktober 2023, meskipun gencatan senjata sementara sudah berkuat kuasa bulan lalu.
Menurut data yang dikumpul AFP daripada Kementerian Kesihatan Palestin, lebih 1,000 rakyat Palestin, termasuk pejuang dan orang awam terbunuh di Tebing Barat sejak perang Gaza bermula.










