Ibu bunuh, sumbat mayat dua anak dalam beg pakaian dipenjara seumur hidup

Ibu bunuh, sumbat mayat dua anak dalam beg pakaian dipenjara seumur hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AUCKLAND: Seorang ibu yang membunuh dua anaknya sebelum menyumbat mayat mereka ke dalam beg pakaian yang disimpan di sebuah stor dijatuhi hukuman penjara seumur hidup di New Zealand, pada Rabu.

Warganegara New Zealand, Hakyung Lee yang berasal dari Korea Selatan, sebelum ini didapati bersalah atas pembunuhan ngeri yang digelar media sebagai ‘pembunuhan dalam beg pakaian’.

Hakim Mahkamah Tinggi, Geoffrey Venning, menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 17 tahun sebelum layak dipertimbangkan parol, sambil menyatakan Lee membunuh anak-anak yang amat terdedah dan tidak berdaya.

Lee, 45, yang hadir ditemani pengawal keselamatan dan jurubahasa tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika hukuman diumumkan.

Pada 2018, Lee membunuh anak lelakinya, Minu Jo dan anak perempuannya, Yuna Jo, masing-masing berusia enam dan lapan tahun, dengan memberikan dos berlebihan ubat preskripsi.

Mayat mereka hanya ditemukan pada 2022 selepas sebuah keluarga yang membeli stor lelongan membuka beg pakaian yang ditinggalkan.

Lee ketika itu sudah menukar namanya dan melarikan diri ke Korea Selatan, sebelum diekstradisi untuk dibicarakan di New Zealand. Prosiding hukuman turut mendengar bagaimana kejadian itu meninggalkan kesan trauma mendalam terhadap keluarga Lee.

“Jika dia mahu mati, mengapa dia tidak mati seorang diri? Mengapa dia membawa bersama anak-anak yang tidak berdosa?” kata ibunya, Choon Ja Lee dalam kenyataan yang dibacakan di mahkamah.

Perbicaraan lebih tertumpu pada persoalan sama ada Lee sedar tindakannya itu salah dari segi moral, meskipun dia mengaku melakukan pembunuhan tersebut.

Peguam bela berhujah Lee tidak bersalah kerana mengalami masalah kewarasan selepas kematian suaminya pada 2017 yang didakwa menyebabkan kemurungan mendalam.

Seorang pakar psikiatri forensik yang memberi keterangan bagi pihak pembelaan menyebut Lee mengalami kemurungan, kecenderungan bunuh diri, rasa bersalah dan kepercayaan membunuh anak-anaknya adalah tindakan yang ‘betul’.

Namun pihak pendakwa berhujah Lee sedar akan perbuatannya, merujuk kepada usaha menyembunyikan mayat sebelum melarikan diri dari negara itu. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN