Hat Yai gerakkan kempen pembersihan selepas banjir

Hat Yai gerakkan kempen pembersihan selepas banjir

HAT YAI mengalami kerosakan infrastruktur yang teruk termasuk sisa banjir tinggi. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAT YAI: Bandar Hat Yai memulakan kempen Hari Pembersihan Besar-Besaran semalam bagi memulihkan bandar itu dalam tempoh tujuh hari selepas dilanda banjir beberapa hari lalu.

Menurut, Gabenor Songkhla, Rattasart Chidchu, Hat Yai yang menempatkan 400,000 penduduk mengalami kerosakan teruk termasuk rumah, jalan raya, utiliti dan infrastruktur awam, selain jumlah sisa banjir dan mendapan lumpur yang sangat besar.

Sehubungan itu, penduduk diminta mengalihkan kenderaan yang menghalang lalu lintas bagi memudahkan operasi pembersihan.

Kerajaan wilayah Songkhla menggerakkan pelbagai jentera berat termasuk 100 lori enam tayar, 100 lori sepuluh tayar, 100 jengkaut, 100 mesin penggali-pemuat dan 10 lori sampah.

Lebih 10 juta beg sampah dan 300,000 set peralatan pembersihan turut disediakan bagi menyokong operasi.

Lebih 1,000 anggota akan dikerahkan daripada organisasi pentadbiran tempatan, agensi kerajaan, kumpulan sukarelawan, unit tentera dan komuniti setempat. Pasukan tambahan dari daerah berdekatan juga bersedia digerakkan jika diperlukan untuk memastikan operasi berjalan 24 jam.

Pasukan peringkat kampung akan menyelaras tugasan, manakala ahli majlis perbandaran memantau operasi. Ketua komuniti pula akan menguruskan penyelarasan di lapangan bagi memastikan bantuan sampai kepada semua isi rumah dengan cepat.

Polis turut diarahkan meningkatkan rondaan bagi melindungi harta benda penduduk selepas air banjir surut.

Jabatan Kawalan Pencemaran (PCD) mempercepat usaha pengurusan sisa pepejal dan air kumbahan di 10 daerah yang terjejas.

Ketua Pengarah PCD, Surin Worakitthamrong berkata, Tim­balan Perdana Menteri dan Menteri Sumber Asli serta Alam Sekitar, Suchart Chomklin mengarahkan agensi berkaitan menyediakan larutan bio-ekstrak, mengenal pasti lokasi pelupusan sisa serta menilai kerosakan sistem pengurusan sisa dan rawatan kumbahan.

Katanya, PCD akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk membuka lebih banyak pusat kutipan sisa sementara serta bekerjasama dengan sektor swasta untuk mengasingkan dan mengitar semula sisa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN