NAIROBI: Hampir separuh penduduk Sudan Selatan kini berdepan kebuluran akut ketika bantuan kemanusiaan yang diterima berada pada tahap paling rendah sejak negara itu merdeka, menurut Oxfam pada Rabu.
Pertubuhan kebajikan berpusat di United Kingdom itu berkata, hanya 40 peratus daripada pelan bantuan kemanusiaan Sudan Selatan bernilai AS$1.6 bilion (RM6.61 bilion) bagi tahun 2025 telah diterima, susulan negara-negara Barat mengurangkan peruntukan bantuan mereka.
Oxfam melaporkan hampir enam juta rakyat Sudan Selatan sedang mengalami kebuluran akut serta kekurangan akses kepada air bersih dan kemudahan sanitasi, angka yang dijangka meningkat kepada 7.5 juta menjelang April.
Perpindahan besar-besaran kekayaan minyak negara itu ke tangan golongan elit melalui rasuah, sebagaimana didokumentasikan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), menyebabkan Sudan Selatan hampir tidak mempunyai perkhidmatan asas.
“Dunia seolah-olah berpaling daripada mereka yang paling memerlukan bantuan, pada saat kelangsungan hidup mereka benar-benar di ambang bahaya,” kata Pengarah Negara Oxfam Sudan Selatan, Shabnam Baloch.
Sudan Selatan mencapai kemerdekaan pada 2011, namun tidak lama kemudian dilanda perang saudara selama lima tahun yang mengakibatkan lebih dua juta orang hilang tempat tinggal.
Kebimbangan terhadap konflik baharu turut memuncak tahun ini berikutan kegagalan pelaksanaan perjanjian damai.
Negara itu juga menampung ratusan ribu pelarian dari Sudan yang dilanda perang. Di bandar sempadan Renk, sehingga 1,000 orang tiba setiap hari di pusat transit.
Bagaimanapun, Oxfam terpaksa mengurangkan operasi di kawasan itu sehingga 70 peratus dalam tempoh sebulan akan datang, dan memberi amaran bahawa kerja-kerja bantuan mungkin terhenti sepenuhnya menjelang Februari sekiranya dana baharu tidak diperoleh. -ARABNEWS










