GENEVA: Sekurang-kurangnya 67 kanak-kanak terbunuh dalam insiden berkaitan konflik sejak gencatan senjata bermula di Gaza, demikian menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
“Puluhan lagi cedera. Ini bermakna hampir dua kanak-kanak terbunuh setiap hari sejak gencatan senjata berkuat kuasa,” kata jurucakap UNICEF, Ricardo Pires dalam sidang media di Geneva.
UNICEF pada Khamis memaklumkan seorang bayi perempuan turut terbunuh dalam serangan udara di timur Khan Younis, selatan Gaza, bersama kedua-dua ibu bapanya.
Pada Rabu, tujuh kanak-kanak dilaporkan maut dalam beberapa serangan udara di Gaza City dan kawasan selatan, menurut UNICEF.
Sementara itu, pertubuhan perubatan Medecins Sans Frontieres (MSF) memaklumkan pasukan perubatannya di Gaza minggu ini merawat wanita dan kanak-kanak Palestin yang mengalami kecederaan akibat serangan udara dan tembakan, meskipun sudah hampir enam minggu perjanjian gencatan senjata Israel-Hamas dilaksanakan.
Menurut MSF, sejak Rabu, petugas perubatan di Gaza utara dan selatan merawat mangsa dengan patah terbuka serta kecederaan tembakan pada anggota badan dan kepala.
Rawatan diberikan di hospital serta klinik di Gaza City di utara dan Rafah di selatan.
MSF turut melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dirawat di sebuah hospital di Gaza City pada Rabu akibat kecederaan di muka dipercayai terkena tembakan daripada dron Israel, menurut seorang jururawat di Gaza.
Di bawah perjanjian gencatan senjata itu, tentera Israel berundur ke kawasan yang dipanggil “garisan kuning”, yang masih meletakkan mereka dalam kawalan 53 peratus wilayah Gaza.
Gaza City kini berada di bawah kawalan Hamas manakala Rafah masih lagi berada di bawah kawalan Israel.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, 312 rakyat Palestin terbunuh sejak 11 Oktober akibat tindakan tentera Israel di Gaza. -AGENSI










