WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa beliau akan membatalkan semua perintah eksekutif yang dikeluarkan oleh bekas Presiden Joe Biden yang kononnya ditandatangani menggunakan autopen, iaitu mesin yang meniru tandatangan manusia.
Dalam hantaran di media sosial pada Jumaat, Trump mendakwa kira-kira 92 peratus perintah eksekutif Biden menggunakan autopen dan oleh itu, menurut beliau, semua dokumen tersebut “terbatal dan tidak lagi berkuat kuasa.”
Dakwaan ini dibuat ketika Trump terus mempersoalkan keupayaan Biden yang berusia 82 tahun semasa meninggalkan jawatan, dengan menuding jari kepada faktor usia dan kesihatan mental.
Trump juga mengugut untuk mendakwa Biden atas kesalahan sumpah palsu jika menafikan dakwaan tersebut. Bagaimanapun, tiada bukti kukuh autopen digunakan tanpa pengetahuan Biden, yang menafikan dakwaan itu dalam kenyataan Jun lalu, menegaskan keputusan sepanjang tempoh presidennya adalah sah dan rasional.
Autopen bukan perkara baharu di White House, ia telah digunakan sejak era Presiden Thomas Jefferson pada abad ke-19.
Trump sendiri turut menggunakan peranti itu semasa penggal pertamanya, namun beliau menjadikan isu ini sebagai senjata politik, termasuk menggantikan potret Biden dengan gambar autopen di “presidential walk of fame” berhampiran Rose Garden awal tahun ini.
Pakar undang-undang menolak dakwaan Trump sebagai tidak berperlembagaan.
Menurut memo Pejabat Penasihat Undang-Undang AS pada 2005, Presiden tidak perlu menandatangani dokumen secara fizikal agar perintah tersebut sah, dan penggunaan autopen dibenarkan.









