WASHINGTON: Gambar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terlelap semasa satu pengumuman di Pejabat Oval tular di media sosial hujung minggu lalu, dengan ramai ahli Demokrat mempersoalkan tahap prestasinya di tempat kerja.
Trump hadir dalam pengumuman pada Khamis mengenai penurunan harga ubat popular untuk masalah berat badan, bercakap dari Resolute Desk bersama pegawai lain.
Pada beberapa ketika, Trump terlelap dan ada saat beliau berusaha kekal segar dan menggosok matanya.
Gambar-gambar itu segera menarik kritikan ramai dengan Pejabat Media Gabenor California, Gavin Newsom yang merupakan antara pesaing utama Trump, memuat naik gambar daripada acara itu dan kapsyen ‘Dozy Don Kembali’.
Namun, jurucakap Rumah Putih, Taylor Rogers menafikannya dalam satu kenyataan kepada CNN.
“Presiden tidak tidur, sebenarnya beliau bercakap sepanjang acara itu dan menjawab banyak soalan daripada media semasa pengumuman ini yang menyaksikan pengurangan harga bersejarah bagi dua ubat yang membantu rakyat AS menghadapi diabetes, penyakit jantung, obesiti, dan kondisi lain” katanya.
Trump sering muncul di khalayak dan turut mengambil bahagian dalam sesi soal jawab panjang dengan wartawan. Pembantu dan anggota Kabinet kerap memuji daya tahannya dan menyatakan menerima panggilan atau mesej dari Trump pada bila-bila masa.
Persoalan mengenai kesihatan Trump timbul sejak beberapa bulan lalu dan beliau memaklumkan menjalani imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) semasa pemeriksaan kesihatan.










