BAITULMUQADDIS: Tentera Israel mengumumkan pemecatan tiga jeneral serta tindakan disiplin terhadap beberapa pegawai kanan lain berikutan kegagalan mereka mencegah serangan Hamas pada Oktober 2023, serangan paling dahsyat dalam sejarah negara itu.
Langkah tersebut dibuat dua minggu selepas ketua tentera, Eyal Zamir, menggesa siasatan menyeluruh ke atas kegagalan yang membawa kepada serangan itu, ketika kerajaan masih berlengah menubuhkan suruhanjaya siasatan negara walaupun menerima tekanan awam.
Senarai jeneral yang dipecat itu merangkumi tiga komander divisyen, termasuk seorang yang ketika itu berkhidmat sebagai ketua perisikan tentera.
Menurut kenyataan tentera pada Ahad, ketiga-tiga mereka memikul tanggungjawab peribadi atas kegagalan angkatan tentera menghalang serangan yang dilancarkan Hamas dari Semenanjung Gaza.
Pemecatan tersebut diumumkan selepas ketiga-tiganya terlebih dahulu mengemukakan peletakan jawatan.
Tindakan disiplin turut dikenakan ke atas ketua tentera laut, ketua tentera udara, empat lagi jeneral serta beberapa pegawai kanan lain.
Awal bulan ini, satu laporan oleh jawatankuasa pakar dilantik ketua tentera, Eyal Zamir, diterbitkan sebagai rumusan siasatan dalaman tentera mengenai serangan 7 Oktober itu.
Laporan berkenaan menyimpulkan bahawa berlaku kegagalan sistemik dan organisasi yang berpanjangan dalam struktur tentera.
Siasatan itu turut menyorot kegagalan perisikan termasuk ketidakmampuan memberi amaran awal terhadap serangan tersebut meskipun tentera memiliki maklumat berkualiti tinggi dan luar biasa.
Ia turut mengkritik proses membuat keputusan yang lemah dan penempatan pasukan yang tidak memadai pada malam 7 Oktober 2023 serta menunjukkan kegagalan di sepanjang rantaian perintah tentera. -ARABNEWS










