LOS ANGELES: Empat orang maut manakala 10 yang lain cedera dalam satu insiden tembakan tragis ketika majlis hari jadi kanak-kanak di California.
Menurut pejabat Sheriff Daerah San Joaquin kira-kira 14 individu terkena tembakan dalam insiden mengejutkan di sebuah restoran pada Sabtu petang, di bandar Stockton.
Seorang suspek masih bebas dan polis percaya tembakan itu mungkin merupakan insiden bersasar.
Polis tempatan berkata, mangsa termasuk orang dewasa dan kanak-kanak.
Keadaan mangsa yang cedera masih belum disahkan. Pejabat sheriff daerah San Joaquin berkata, insiden itu berlaku sejurus sebelum pukul 6 petang (waktu tempatan).
“Ini adalah siasatan yang sangat aktif dan masih berjalan, dan maklumat yang diperoleh masih terhad.
“Tanda awal menunjukkan ini mungkin merupakan insiden bersasar dan para penyiasat sedang meneliti semua kemungkinan. Para detektif sedang giat berusaha menentukan keadaan yang membawa kepada tragedi ini.
“Kami menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat, rakaman video, atau yang mungkin menyaksikan sebarang bahagian kejadian ini untuk segera menghubungi Pejabat Sheriff Daerah San Joaquin,” jelas polis dalam satu kenyataan.
Timbalan Datuk Bandar Stockton, Jason Lee meluahkan rasa terkejut dan marah di laman sosial berhubung insiden tembakan besar-besaran di majlis hari jadi kanak-kanak.
“Majlis hari jadi tidak sepatutnya menjadi tempat di mana keluarga merasa bimbang tentang nyawa mereka,” katanya.-AGENSI










