BANGKOK: Kakitangan sebuah kuil di Thailand gempar selepas seorang wanita yang disangka sudah meninggal dunia tiba-tiba bergerak di dalam keranda ketika dibawa untuk upacara pembakaran mayat.
Kejadian luar biasa itu berlaku di Wat Rat Prakhong Tham, sebuah kuil Buddha di wilayah Nonthaburi, di pinggir Bangkok.
Video yang dimuat naik di laman Facebook kuil berkenaan menunjukkan wanita berusia 65 tahun itu terbaring di dalam keranda di belakang sebuah trak pikap sambil menggerakkan tangan dan kepalanya secara perlahan.
Pengurus hal ehwal kuil, Pairat Soodthoop, berkata wanita itu dibawa oleh abangnya dari wilayah Phitsanulok untuk dibakar selepas mereka menyangka dia meninggal dunia dua hari lalu.
“Kami terdengar ketukan perlahan dari keranda. Ketika dibuka, dia membuka mata dan terus mengetuk sisi keranda. Berkemungkinan dia sudah lama cuba menarik perhatian,” katanya.
Menurut Pairat, wanita berkenaan terlantar sakit selama dua tahun dan dipercayai berhenti bernafas sebelum abangnya meletakkannya ke dalam keranda.
Lelaki itu kemudian memandu sejauh 500 kilometer ke Bangkok kerana adiknya pernah menyatakan hasrat untuk mendermakan organ, namun hospital menolak kerana tiada sijil kematian.
Abangnya kemudian membawa wanita itu ke kuil berkenaan yang menawarkan khidmat pembakaran percuma, sebelum turut ditolak atas alasan sama.
Ketika Pairat menerangkan prosedur untuk mendapatkan sijil kematian, mereka terdengar ketukan dari dalam keranda yang membawa kepada penemuan mengejutkan itu.
Wanita tersebut segera dihantar ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut. Pihak kuil memaklumkan mereka akan menanggung sepenuhnya kos perubatan wanita berkenaan.









