Dakwa difitnah, Trump ugut saman BBC AS$1 bilion - Utusan Malaysia

Dakwa difitnah, Trump ugut saman BBC AS$1 bilion

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam menyaman British Broadcasting Corporation (BBC) selepas penyiar Britain itu didakwa melakukan suntingan menyeleweng terhadap ucapannya pada 2021, ketika penyokong beliau menyerbu bangunan Capitol Hill di Washington.

Dalam surat rasmi yang dilihat oleh Reuters, pasukan peguam Trump memberi amaran BBC perlu menarik balik dokumentari tersebut selewat-lewatnya Jumaat ini atau berdepan tindakan undang-undang bernilai tidak kurang daripada AS$1 bilion (RM4.8 bilion).

Surat itu turut menuntut permohonan maaf terbuka serta pampasan atas dakwaan kerosakan reputasi dan kewangan terhadap bekas presiden berkenaan.

Dokumentari itu disiarkan dalam rancangan terkenal Panorama, yang dikatakan menyunting dan mencantum tiga petikan ucapan Trump bagi memberi gambaran bahawa beliau menghasut rusuhan 6 Januari 2021.

Peguam Trump mendakwa penyiar berkenaan meninggalkan bahagian penting ucapan di mana beliau menyeru penyokong agar berarak “secara aman dan patriotik”.

Krisis dalaman BBC semakin memuncak selepas insiden tersebut, dengan pengarah jeneral Tim Davie dan ketua bahagian berita Deborah Turness mengumumkan peletakan jawatan pada Ahad lalu.

Pengerusi BBC, Samir Shah, memohon maaf atas kesilapan suntingan itu, namun menolak dakwaan BBC mengamalkan bias politik secara sistematik dalam laporan beritanya.

Shah turut memaklumkan BBC mempertimbangkan langkah selanjutnya terhadap ugutan saman berkenaan, sambil menyatakan pihaknya akan memberi respons rasmi dalam masa terdekat.

Sementara itu, dokumentari kontroversi itu telah ditarik balik daripada platform penstriman BBC iPlayer selepas menerima kritikan meluas.

Siasatan dalaman BBC mendapati penyiaran dokumentari itu, yang dibuat beberapa minggu sebelum pilihan raya presiden AS 2024, menimbulkan persepsi BBC cuba mempengaruhi keputusan pilihan raya.

Trump melalui peguamnya menuduh tindakan tersebut sebagai cubaan mencampuri proses demokrasi AS.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN