LAHORE: Seorang peguam muda Pakistan, Mahnoor Omer, 25, mencuri perhatian selepas memfailkan saman terhadap kerajaan Pakistan di Mahkamah Tinggi Lahore berhubung pelaksanaan ‘cukai haid’ yang didakwa membebankan wanita dan tidak adil.
Mahnoor, kini muncul sebagai aktivis yang menjadi perhatian umum selepas mencabar kerajaan yang didakwanya melaksanakan cukai tinggi terhadap tuala wanita dan produk kebersihan haid, yang menyebabkan hanya sebahagian kecil wanita di Pakistan mampu membelinya.
Menurut Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF), cukai dan duti sedia ada boleh meningkatkan harga runcit sehingga 40 peratus. Satu kajian turut mendapati hanya 16.2 peratus wanita di kawasan luar bandar menggunakan tuala wanita kerana faktor kos.
Kerajaan Pakistan mengecualikan barangan keperluan asas daripada cukai termasuk barangan seperti susu dan keju. Maka, Mahnoor mempersoalkan mengapa tuala wanita yang merupakan keperluan bulanan bagi ramai daripada 109 juta wanita di negara itu, diklasifikasikan sebagai barangan mewah sebaris dengan minyak wangi dan kosmetik.
“Amat mengecewakan apabila melihat dasar diskriminasi jantina masih diluluskan tanpa persoalan, walaupun ramai wanita kini berkhidmat sebagai menteri, penggubal undang-undang dan wakil rakyat,” katanya.
Secara purata, seorang wanita akan menghabiskan enam hingga tujuh tahun hidupnya dalam fasa haid. Bagi pelajar perempuan dan wanita berpendapatan rendah, pengurusan kebersihan haid sering menjadi cabaran besar walaupun ia sesuatu yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan UNICEF sebagai hak kesihatan asas.
Usaha Mahnoor turut disokong oleh Mahwari Justice, sebuah pertubuhan yang digerakkan oleh anak muda dan memberi tumpuan kepada pendidikan kesihatan serta pengagihan produk haid kepada komuniti miskin.
Organisasi itu ditubuhkan selepas banjir besar pada 2022, apabila pengasasnya, Anum Khalid dan Bushra Mahnoor, menyedari ramai wanita terpaksa menggunakan bahan tidak selamat bagi menggantikan tuala wanita.
Mereka kini melancarkan petisyen awam bagi menyokong tindakan undang-undang Mahnoor.
Setakat ini, petisyen tersebut sudah menerima lebih 4,700 tandatangan. – AGENSI










