JAKARTA: Pendekatan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto untuk membuka ruang normalisasi dengan Israel jelas tidak direstui rakyat dan sebahagian besar elit politik serta tokoh agama dalam pemerintahannya.
Malah, pakar dan penganalisis politik berpendapat, beliau perlu berusaha keras mengimbangi sentimen domestik dan kepentingan geopolitik jika benar mahu merealisasikannya.
Sejak era Soekarno, Indonesia teguh tidak menjalin hubungan diplomatik dengan Israel, pendirian yang bukan sahaja menjadi simbol solidariti berkekalan terhadap Palestin tetapi juga sebahagian daripada identiti nasional negara dengan majoriti penduduk Islam terbesar dunia itu.
Usaha untuk mengubah dasar itu juga sering menerima bantahan keras daripada pelbagai pihak selepas Indonesia mengiktiraf negara Palestin pada tahun 1988.
Felo pelawat di ISEAS–Institut Yusof Ishak, Made Supriatma berkata, janji Prabowo untuk mengiktiraf Israel jika negara itu mengiktiraf kewujudan negara Palestin pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) 23 September lalu juga belum pernah dilakukan mana-mana pemimpin Indonesia sebelum ini.
Katanya, percubaan Prabowo untuk mempamerkan kepimpinan global dalam mencari penyelesaian diplomatik ‘menang-menang’ itu berdepan realiti sukar terutama dalam isu Palestin apabila sentimen rakyat jelas menjadi ‘tembok besi’ yang tidak mudah ditembusi.
“Sentimen menyokong Palestin sangat tinggi, terutama dalam kalangan organisasi Islam. Hubungan terbuka dengan Israel berisiko besar,” kata Made.
Prabowo turut menegaskan dunia perlu mengiktiraf dan menjamin keselamatan Israel, satu nada berbeza daripada pendahulunya yang lebih memfokuskan kepada hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri berbanding agenda pertahanan rejim Zionis.
Tawaran Prabowo untuk menghantar 20,000 anggota pengaman ke Gaza juga dilihat sebagai isyarat Indonesia mahu menunjukkan peranan globalnya sebagai kuasa besar yang mampu menawarkan penyelesaian.
Pada 13 Oktober lalu, Prabowo menjadi satu-satunya pemimpin Asia Tenggara yang dijemput ke Mesir untuk menyertai pertemuan dengan pimpinan Amerika Syarikat (AS), Turkiye serta Qatar dan dalam majlis itu, Presiden AS, Donald Trump memuji beliau sebagai seorang tokoh ‘luar biasa’ dari Indonesia.
“Beliau mahu tunjukkan Indonesia merupakan negara besar yang mampu memberi penyelesaian dan hasil,” kata Pensyarah Hubungan Antarabangsa Universitas Jenderal Achmad Yani, Yohanes Sulaiman.
Sentimen kuat anti-Israel
Bekas Presiden, Abdurrahman Wahid pernah menerima kritikan keras apabila mencadangkan hubungan dengan Israel pada tahun 1999-2001. Bantahan kuat memaksa pemimpin-pemimpin selepas itu berhati-hati dalam sebarang isu melibatkan rejim itu.
Kajian Median pada Jun 2025 menunjukkan 74.9 peratus rakyat Indonesia menolak sebarang pengiktirafan terhadap Israel malah, tindak balas terhadap mana-mana pihak yang dianggap bersimpati kepada rejim itu juga berlaku dengan pantas dan tegas.
Pada Julai tahun lalu, organisasi Islam terbesar Indonesia, Nahdlatul Ulama memecat beberapa ahlinya kerana menerima jemputan untuk bertemu Presiden Israel, Isaac Herzog di Israel.
Terbaharu, Universiti Indonesia, antara pusat pendidikan terkemuka negara itu terpaksa memohon maaf selepas menjemput seorang sarjana pro-Israel, Peter Berkowitz untuk berucap pada sebuah acara kampus pada Ogos.

Rakyat Indonesia turut bertindak balas dengan keras apabila beberapa media Israel melaporkan Prabowo dijadualkan melawat Israel selepas menghadiri sidang kemuncak keamanan Gaza di Mesir, memaksa Menteri Luar, Sugiono segera menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan sokongan jangka panjang Jakarta terhadap rakyat Palestin di wilayah terkepung itu.
Pada April tahun lalu, selepas laporan media mencadangkan Indonesia akan menormalkan hubungan diplomatik dengan Israel sebagai pertukaran untuk keanggotaan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Kementerian Luar Negeri segera tampil menolak dakwaan tersebut.
Menurut sebahagian penganalisis, menjalinkan hubungan dengan Israel berpotensi memberi manfaat kepada perjuangan Palestin dengan membuka saluran diplomatik baharu untuk dialog.
“Ia boleh membuka diplomasi saluran belakang, sekali gus memberikan Indonesia peranan lebih kredibel dalam memperjuangkan kepentingan Palestin,” kata Penganalisis Kanan Hal Ehwal Indonesia di firma penasihat dasar awam, Global Counsel, Dedi Dinarto.
Bagi Israel pula, hubungan rasmi dengan Indonesia bukan sahaja akan membuka pasaran besar yang belum diterokai melibatkan 280 juta penduduknya tetapi turut memberi negara itu sekutu berpengaruh dalam dunia Islam.
Bagaimanapun Kementerian Luar Indonesia menegaskan, sebarang isyarat atau bentuk penyertaan diplomatik melibatkan Israel berlandaskan komitmen lama negara itu untuk memastikan pengiktirafan terhadap sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.
Kekuatan politik Islam yang selama ini menjadi pemacu demonstrasi pro-Palestin berjaya ‘dijinakkan’ apabila tokoh-tokoh agama organisasi utama turut diserap ke dalam pentadbiran Prabowo.
Namun, kestabilan ini dikhuatiri terjejas khususnya jika gencatan senjata rapuh antara Israel dan Hamas runtuh dan keganasan kembali tercetus di Gaza.
“Tanggapan Indonesia terlalu mengalah kepada Israel dan AS boleh mencetuskan kemarahan dan demonstrasi jalanan.
“Selain itu, pendirian Prabowo boleh menjauhkan negara-negara yang sekian lama berdiri bersama Indonesia dalam mempertahankan hak Palestin, sekali gus membuat mereka berasa Jakarta tidak lagi berkongsi pakatan ideologi yang sama,” kata Pakar Hubungan Antarabangsa Universiti Padjadjaran, Teuku Rezasyah.










