BRASILIA: Mahkamah Agung Brazil mengarahkan bekas Presiden berhaluan kanan, Jair Bolsonaro mula menjalani hukuman penjara 27 tahun selepas beliau kehabisan semua ruang rayuan dalam kes cubaan rampasan kuasa yang gagal.
Bekas kapten tentera berusia 70 tahun yang pernah membangkitkan gelombang politik kanan di Brazil dan mengubah landskap politik negara itu kini mengakhiri kerjayanya yang penuh perpecahan dengan dipenjara di sebuah bilik kecil di ibu pejabat polis, lengkap dengan televisyen, peti sejuk mini dan penyaman udara.
Bolsonaro disabitkan kesalahan pada September lalu kerana merancang menggagalkan pelantikan Luiz Inacio Lula da Silva sebagai Presiden selepas pilihan raya 2022, termasuk plot untuk membunuh pemimpin veteran haluan kiri itu.
Pihak pendakwa berkata, rancangan tersebut gagal kerana tidak mendapat sokongan kepimpinan tertinggi tentera.
Mahkamah Agung menolak rayuan akhir Bolsonaro awal bulan ini dan pada Selasa memutuskan hukuman tersebut adalah muktamad. Mahkamah turut mengarahkan tribunal tentera menentukan sama ada pangkat kapten Bolsonaro harus dilucutkan.
Beliau sebelum ini dikenakan tahanan rumah sehingga Sabtu, sebelum ditahan di ibu pejabat polis di Brasilia kerana didakwa cuba membuka alat pengawasan buku lali menggunakan alat pemateri.
Hakim Mahkamah Agung, Alexandre de Moraes berkata, terdapat petunjuk Bolsonaro merancang untuk melarikan diri ketika satu vigil yang dirancang oleh anaknya diadakan berhampiran kediaman mereka.
Beliau turut merujuk lokasi kedutaan Amerika Syarikat (AS) yang berdekatan serta hubungan rapat Bolsonaro dengan Presiden, Donald Trump sebagai alasan kemungkinan beliau cuba mendapatkan suaka politik.
Bolsonaro bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut, mengatakan tindakannya berpunca daripada paranoia akibat ubat-ubatan yang diambilnya.
Mahkamah memutuskan Bolsonaro kekal ditahan di bilik khas pegawai, ruang keselamatan yang diperuntukkan untuk tahanan berprofil tinggi di mana beliau kini ditempatkan di Brasilia.
Lima individu lain yang turut didakwa bersamanya, termasuk beberapa jeneral tentera dan bekas menteri, juga mula menjalani hukuman penjara antara 19 hingga 26 tahun pada Selasa. -AGENSI










