GAZA CITY: Serangan udara Israel di Semenanjung Gaza meragut 28 nyawa hari ini, sekali gus mencetuskan ketegangan baharu meskipun gencatan senjata rapuh masih berkuat kuasa.
Israel dan Hamas saling menuding jari, masing-masing menuduh pihak lawan melanggar perjanjian damai yang dipersetujui bulan lalu.
Menurut agensi pertahanan awam Gaza yang berada di bawah pentadbiran Hamas, 14 penduduk terkorban di Gaza City manakala 13 lagi terbunuh di kawasan Khan Younis.
Hospital-hospital di wilayah itu turut mengesahkan angka yang sama, namun sekatan media menyebabkan jumlah sebenar tidak dapat disahkan secara bebas.
Tentera Israel mendakwa serangan berkenaan dilancarkan selepas pejuang Hamas melepaskan tembakan ke arah kawasan operasi tentera Israel di selatan Gaza.
Bagaimanapun, Hamas menafikan dakwaan itu dan menyifatkan tindakan Israel sebagai “eskalasi berbahaya” yang mengancam usaha mengekalkan gencatan senjata sejak 10 Oktober lalu.
Penduduk Gaza yang baru pulang ke rumah masing-masing selepas setahun berpindah turut menceritakan detik cemas serangan tersebut.
Ada yang mendakwa serangan berlaku secara tiba-tiba sehingga menyebabkan mereka melarikan diri tanpa sempat menyelamatkan harta benda. Ambulans dilaporkan berulang-alik membawa mangsa yang terbunuh dan cedera.
Sejak gencatan senjata dilaksanakan berdasarkan perjanjian yang diusahakan Amerika Syarikat, lebih 280 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dalam siri serangan berterusan Israel terhadap sasaran yang didakwa milik Hamas.
Pada masa sama, pelan damai fasa kedua yang dicadangkan Presiden AS, Donald Trump, termasuk perlucutan senjata Hamas dan penubuhan pihak berkuasa peralihan — masih belum dipersetujui.
Dalam perkembangan berkaitan, Israel turut melancarkan beberapa serangan di selatan Lubnan terhadap kemudahan yang didakwa milik Hezbollah, selain pemimpin tertingginya melakukan lawatan ke kawasan penempatan tentera Israel di wilayah Syria.
Tindakan itu dikecam keras oleh Damsyik yang menyifatkannya sebagai pelanggaran serius terhadap kedaulatan negara tersebut.










