Bekas Presiden Perancis dibebaskan sementara selepas 20 hari dipenjara - Utusan Malaysia

Bekas Presiden Perancis dibebaskan sementara selepas 20 hari dipenjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, dibebaskan dari penjara La Santé pada Isnin (10 Nov) selepas menjalani 20 hari tahanan, yang disifatkannya sebagai satu “mimpi ngeri”, berikutan keputusan mahkamah membenarkan pembebasan sementara sementara menunggu rayuan kes pembiayaan pilihan raya oleh Libya.

Sarkozy, 70, yang menegaskan dirinya tidak bersalah, meninggalkan penjara itu sekitar 3 petang waktu tempatan (10 malam waktu Malaysia) menaiki kereta berkaca gelap dengan kawalan rapi polis bermotosikal.

Beliau sebelum ini dikenakan hukuman penjara lima tahun oleh mahkamah rendah pada September lalu atas kesalahan didakwa menerima dana daripada bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, untuk kempen pilihan raya 2007.

Bekas presiden itu menjadi ketua negara Kesatuan Eropah pertama yang dipenjarakan, selepas mula menjalani hukuman pada 21 Oktober lalu, namun pasukan pembelaannya segera memfailkan permohonan untuk pembebasan.

Hakim kini memutuskan beliau bebas sementara menunggu perbicaraan rayuan pada Mac depan, menjadikannya kembali dianggap tidak bersalah di sisi undang-undang.

Dalam sesi perbicaraan secara dalam talian dari penjara pada Isnin pagi, Sarkozy menggambarkan pengalaman dipenjarakan sebagai “amat sukar dan meletihkan”.

“Ia memang menyakitkan… tetapi kakitangan penjara menunjukkan kemanusiaan luar biasa yang menjadikan mimpi ngeri ini sedikit lebih tertanggung,” katanya.

Mahkamah turut mengarahkan agar Sarkozy tidak meninggalkan Perancis dan tidak berhubung dengan bekas pegawai Libya atau pegawai kehakiman tertinggi Perancis, termasuk Menteri Kehakiman Gérald Darmanin, yang sebelum ini dilaporkan melawat beliau di penjara walaupun mendapat amaran keras daripada pendakwa tertinggi negara.

Sarkozy, yang masih berpengaruh dalam kalangan ahli politik konservatif, menerima sokongan moral daripada isterinya, Carla Bruni, serta dua anak lelakinya yang hadir di mahkamah.

Ketua Parti Republikan, Laurent Wauquiez, menyifatkan keputusan pembebasan itu sebagai “adil dan bermaruah, selayaknya untuk seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada negara.”

Sarkozy sebelum ini turut disabitkan kesalahan dalam dua kes lain, termasuk cubaan mendapatkan maklumat sulit daripada hakim dan pembiayaan haram kempen 2012.

Namun, dalam kes terbaharu yang digelar “Skandal Libya”, mahkamah hanya mendapati wujud persekongkolan jenayah, tanpa bukti kukuh beliau menerima dana secara langsung daripada rejim Gaddafi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN