GENEVA: Amerika Syarikat (AS) dan Ukraine mengumumkan mereka menghasilkan satu rangka kerja keamanan baharu dan diperhalusi bagi menamatkan perang dengan Russia.
Tindakan itu dibuat beberapa jam selepas negara-negara Eropah memperkenalkan pelan alternatif yang lebih memihak kepada Kyiv.
Pelan itu muncul selepas dokumen asal yang disokong Washington bocor minggu lalu yang mengandungi beberapa syarat berat sebelah kepada Moscow.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, selepas menghadiri rundingan di Switzerland bersama ketua staf Presiden Ukraine, Andriy Yermak, menyatakan beliau sangat optimis dengan kemajuan dicapai.
Kedua-dua negara menegaskan sebarang perjanjian masa depan mesti sepenuhnya mengekalkan kedaulatan Ukraine.
Dokumen 28 perkara yang bocor itu sebelum ini mengundang kemarahan Kyiv kerana menggesa Ukraine menyerahkan wilayah kepada Russia, mengehadkan saiz tenteranya dan tidak menuntut Kremlin atas dakwaan jenayah perang.
Ketika rundingan bermula, Presiden AS, Donald Trump pula menuduh Ukraine menunjukkan ‘sifar rasa terima kasih’, namun Presiden Volodymyr Zelensky menegaskan beliau menghargai bantuan ketenteraan Washington sejak awal perang.
Kekeliruan timbul apabila Rubio terlebih dahulu mengakui pelan itu asalnya disediakan di Moscow, sebelum menarik balik kenyataan tersebut dan menegaskan ia ditulis oleh AS dengan input Russia dan Ukraine.
Tindakan Washington itu menyebabkan sekutu Eropah menerbitkan pelan mereka sendiri yang lebih selaras dengan kepentingan Ukraine.
Cadangan Eropah itu menetapkan rundingan wilayah hanya boleh bermula selepas gencatan senjata, berdasarkan garisan pertempuran semasa. Tidak seperti pelan White House, ia tidak menggesa Kyiv berundur dari bandar-bandar Donbas yang dikuasainya dan tidak menolak kemungkinan keanggotaan Ukraine dalam NATO.
Antara cadangan lain termasuk menyerahkan stesen nuklear Zaporizhzhia kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), memperuntukkan kuasa elektrik 50-50 antara Kyiv dan Moscow, serta mengehadkan tentera Ukraine kepada 800,000 anggota pada waktu aman.
Aset Russia yang dibekukan pula dicadangkan untuk pembinaan semula Ukraine.










