AS jadi negara penerima pinjaman terbesar China

AS jadi negara penerima pinjaman terbesar China

BOEING menjadi antara syarikat AS yang menerima kecairan kredit dari China. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) muncul sebagai penerima pinjaman terbesar China di peringkat global, meskipun negara itu sering memberi amaran kepada dunia mengenai risiko bergantung kepada pembiayaan Beijing.

Pendedahan tersebut terkandung dalam satu kajian terbaharu yang menjejak aktiviti kredit China di seluruh dunia.

Laporan yang dikeluarkan oleh AidData, sebuah makmal penyelidikan di College of William & Mary, Virginia, menunjukkan syarikat-syarikat AS menerima lebih AS$200 bilion (RM826 bilion) pembiayaan China dalam tempoh hampir 25 tahun yang merangkumi sektor strategik seperti semikonduktor dan infrastruktur.

Kajian tersebut mendedahkan perubahan ketara dalam strategi pinjaman China yang kini lebih memberi tumpuan kepada ekonomi berpendapatan tinggi berbanding negara membangun.

Antara projek utama di AS yang dibiayai entiti milik kerajaan China termasuk pembangunan gas asli cecair di Texas dan Louisiana, pusat data di Virginia serta terminal baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy dan Los Angeles.

China turut membantu firma-firmanya membeli kepentingan dalam syarikat teknologi tinggi AS selain menyalurkan kecairan kepada syarikat Fortune 500 seperti Amazon, Tesla dan Boeing.

Menurut Pengarah Eksekutif AidData, Brad Parks, pembiayaan tersebut melibatkan sektor sensitif dari sudut keselamatan negara seperti kecerdasan buatan, bioteknologi, robotik dan pengkomputeran kuantum serta mendakwa pinjaman disalurkan melalui syarikat luar pesisir atau sindiket bank antarabangsa bagi mengurangkan perhatian umum.

Laporan itu turut menunjukkan dari tahun 2000 hingga 2023, pinjaman dan bantuan China mencecah AS$2.2 trilion (RM8.3 trilion) di 200 negara.

Di 72 negara berpendapatan tinggi, hampir 10,000 projek dibiayai dengan jumlah menghampiri AS$1 trilion (RM4.13 trilion).

Parks berkata, andaian operasi pinjaman China di negara kaya adalah kecil ternyata meleset apabila data menunjukkan 76 peratus portfolio pinjaman Beijing kini tertumpu kepada negara berpendapatan tinggi dan pertengahan atas, berbanding hanya 12 peratus sebelum ini.

Malah, projek Belt and Road di negara membangun hanya mewakili sekitar 20 peratus daripada keseluruhan pinjaman.

Perkembangan ini berkait rapat dengan agenda besar Beijing menerusi kempen ‘Made in China 2025’ yang bertujuan menjadikan China kuasa pembuatan berteknologi tinggi dan berdikari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN