HAMILTON: Amerika Syarikat (AS) menggesa tindakan antarabangsa bagi menghentikan bekalan senjata kepada Pasukan Separa Tentera (RSF) Sudan yang didakwa menjadi punca utama konflik berlarutan di negara itu.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, dunia perlu bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang menyalurkan bantuan ketenteraan kepada kumpulan tersebut, sambil memberi amaran penyokong RSF bakal berdepan kesan serius di peringkat global.
“Apa yang berlaku di Sudan amat mengerikan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Luar Kumpulan Tujuh (G7) di Kanada, hari ini.
Rubio turut menuding jari kepada RSF yang sejak April 2023 berperang dengan tentera Sudan, malah baru-baru ini menawan bandar strategik El-Fasher.
Walaupun kumpulan itu mendakwa menyokong cadangan gencatan senjata oleh Washington, beliau menegaskan RSF sering gagal menunaikan janji.
“Kita perlu melakukan sesuatu untuk memutuskan bekalan senjata dan sokongan kepada RSF yang terus mara di lapangan,” katanya sambil menambah kumpulan itu tidak mempunyai keupayaan menghasilkan senjata sendiri dan bergantung sepenuhnya kepada sokongan luar.
Menurutnya, AS mengetahui negara yang menjadi sumber bekalan tersebut dan akan berbincang dengan mereka agar memahami implikasi besar terhadap reputasi antarabangsa sekiranya perkara itu tidak dihentikan segera.
Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada Emiriah Arab Bersatu (UAE) antara pihak yang terlibat, Rubio enggan memberi komen.
Terdahulu, tentera Sudan menuduh UAE menyalurkan senjata dan tentera upahan kepada RSF melalui beberapa negara Afrika, namun UAE menafikan tuduhan berkenaan.










