LONDON: Mainan tradisional mungkin bakal terpinggir sepenuhnya apabila teknologi terus mengambil alih kehidupan kanak-kanak, menurut seorang pengarang kanak-kanak terkenal, Frank Cottrell-Boyce.
Beliau berkata, laporan kanak-kanak kini tidak lagi bermain dengan mainan fizikal semakin kerap didengar.
Beliau yang juga pernah menyandang gelaran Children’s Laureate, sebelum ini memberi amaran kerajaan perlu memastikan kanak-kanak mendapat akses kepada lebih banyak buku susulan penurunan tahap kegembiraan yang berpunca daripada kurangnya amalan membaca.
Mengulas tema filem Toy Story 5 yang baru sahaja dipromosikan melalui treler sempena ulang tahun ke-30 francais itu, Cottrell-Boyce, penulis buku Millions dan Cosmic, berkata Toy Story pertama ialah filem animasi yang dihasilkan sepenuhnya menggunakan komputer, seolah-olah membuka tirai era digital.
“Siri ini berkisarkan apa yang berlaku apabila seorang kanak-kanak mula meninggalkan mainannya, tetapi kini saya semakin kerap mendengar kanak-kanak tidak bermain dengan mainan lagi, mereka menukar mainan kepada skrin,” katanya.
Francais Toy Story selama ini memperkenalkan generasi kanak-kanak kepada pengembaraan watak koboi kayu, Woody, dan wira angkasa Buzz Lightyear. Namun treler Toy Story 5 memberi gambaran filem terbaharu itu akan mencerminkan realiti era moden, bukan sekadar kisah peralihan usia seperti karya asal.
Pengarah Toy Story 5, Andrew Stanton, berkata naskhah terbaharu ini sekadar cuba menggambarkan di mana kedudukan kita hari ini.
“Ia bukan mengenai pertembungan sebenar, sebaliknya sebuah kesedaran tentang masalah kewujudan, hampir tiada siapa yang benar-benar bermain dengan mainan lagi.
“Teknologi telah mengubah kehidupan semua orang, dan kami bertanya apa maknanya untuk kita dan untuk anak-anak kita,” katanya.










