Afrika Selatan benarkan kemasukan 153 pelarian Palestin - Utusan Malaysia

Afrika Selatan benarkan kemasukan 153 pelarian Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHANNESBURG: Pihak berkuasa Afrika Selatan membenarkan kemasukan 153 pelarian Palestin pada Khamis selepas mereka tiba dari Kenya dengan penerbangan sewa khas bagi memohon suaka, meskipun sebelum ini ditolak kerana gagal melepasi pemeriksaan imigresen.

Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Sempadan (BMA), semasa proses temu bual, kumpulan pelarian itu tidak dapat menjelaskan tempoh tinggal atau memberikan alamat penginapan yang dituju.

Mereka juga tidak mempunyai cop keluar dari Israel yang kebiasaannya terdapat dalam pasport.

Pelarian tersebut terpaksa menunggu lebih 10 jam di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa OR Tambo, Johannesburg sebelum pihak berkuasa membuat keputusan sama ada dibenarkan masuk atau diarahkan berpatah balik.

Insiden itu mencetuskan kemarahan aktivis tempatan yang lama dikenali sebagai penyokong kuat perjuangan Palestin. Pada masa sama, BMA menerima surat daripada organisasi bantuan kemanusiaan, Gift of the Givers Foundation, yang menawarkan menempatkan pelarian berkenaan sepanjang tempoh berada di Afrika Selatan.

Pesuruhjaya BMA, Michael Masiapato berkata rakyat Palestin layak menikmati pengecualian visa 90 hari untuk memasuki negara itu dan kumpulan berkenaan telah diproses seperti biasa serta perlu mematuhi semua syarat kemasukan.

BMA memaklumkan daripada 153 pelarian, 23 orang meneruskan perjalanan ke destinasi akhir mereka manakala baki 130 lagi kekal berada di Afrika Selatan di bawah jagaan Gift of the Givers Foundation.

Pengasas organisasi itu, Imtiaz Sooliman, menyifatkan tindakan Israel tidak mengecop pasport pelarian sebagai usaha sengaja menambah kesengsaraan mereka.

Kumpulan pelarian itu meluahkan rasa lega dan syukur apabila akhirnya dibenarkan turun dari pesawat sebelum disambut keluarga, rakan dan kumpulan pro-Palestin.

Menteri Luar Afrika Selatan, Ronald Lamola turut mengambil inisiatif menulis surat kepada Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri bagi mengecualikan keperluan cop keluar dan membenarkan kemasukan mereka.

Pesawat berkenaan merupakan penerbangan kedua membawa pelarian Palestin ke Afrika Selatan selepas penerbangan pertama yang membawa 176 warga Palestin tiba lewat bulan lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa OR Tambo.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×