WASHINGTON: Kateryna Golizdra sudah enam bulan dalam ketidaktentuan undang-undang dan berharap mampu bertahan enam bulan lagi sementara menunggu pentadbiran Donald Trump menentukan nasib program kemanusiaan yang membenarkan 260,000 pelarian Ukraine tinggal dan bekerja di Amerika Syarikat (AS).
Status sah Golizdra, 35, tamat pada Mei lalu, menjadikannya terdedah kepada pengusiran secara automatik dan dia kini kehilangan permit kerja serta terpaksa melepaskan jawatan bergaji lebih AS$50,000 (RM207,000) setahun sebagai pengurus di Ritz-Carlton, Fort Lauderdale, Florida.
Turut hilang ialah insurans kesihatan yang digunakan bagi rawatan hati, serta kemampuan membantu ibunya yang kini berada di Jerman.
Menurut data dalaman kerajaan AS yang diperoleh reuters, hampir 200,000 warga Ukraine berisiko kehilangan status sah mereka menjelang 31 Mac lalu akibat kelewatan proses program kemanusiaan yang diperkenalkan oleh pentadbiran Presiden, Joe Biden, pada April 2022.
Golizdra berkata, dia langsung tidak tahu bila atau sama ada permohonannya akan diperbaharui, sedangkan pada bila-bila masa dia berpotensi ditahan oleh pihak imigresen persekutuan, menurut tiga bekas pegawai imigresen.
“Ia tekanan dan kegelisahan yang berterusan. Jika saya perlu meninggalkan AS, saya perlu bina semula hidup dari kosong,” katanya.
Kembali ke Ukraine tidak menjadi pilihan di mana rumah Golizdra di Bucha dibakar ketika tentera Russia menyerbu bandar itu pada Mac 2022 dan ratusan mayat termasuk penduduk awam ditemui selepas kawasan itu dirampas semula oleh tentera Ukraine.
Pentadbiran AS menghentikan proses permohonan dan pembaharuan baharu pada Januari lalu atas alasan keselamatan dan selepas pertemuan tegang dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, Trump pada Mac membayangkan mahu membatalkan terus status kemanusiaan tersebut, rancangan yang pertama kali didedahkan reuters.
Walaupun Trump tidak meneruskan pembatalan, proses pembaharuan hanya disambung selepas diarahkan mahkamah pada Mei namun, sejak itu pihak imigresen hanya memproses 1,900 permohonan pembaharuan, jumlah yang amat kecil berbanding ratusan ribu permohonan yang bakal tamat tempoh.
Pakej perbelanjaan yang ditandatangani Trump pada Julai mengenakan bayaran baharu AS$1,000 (RM4,142) bagi setiap permohonan kemanusiaan menjadikan jumlah keseluruhan yuran mencecah AS$2,325 (RM9,630).
Enam daripada 24 orang yang ditemu bual Reuters memilih meninggalkan AS secara sukarela kerana bimbang ditahan atau dihantar ke Amerika Latin atau Afrika seperti yang berlaku terhadap imigran lain. -AGENSI










