LONDON: Seorang wanita warga China disabit kesalahan selepas siasatan penipuan antarabangsa yang membawa kepada rampasan mata wang kripto terbesar di dunia.
Polis Metropolitan London mengesahkan pihaknya merampas 61,000 unit bitcoin bernilai lebih 5 bilion pound (RM28.34 bilion) pada harga semasa.
Tertuduh, Zhimin Qian atau turut dikenali sebagai Yadi Zhang, pada Isnin mengaku bersalah di Mahkamah Crown Southwark atas tuduhan memperoleh serta memiliki mata wang kripto secara haram.
Seorang lagi individu turut hadir di mahkamah pada Selasa dan mengaku terlibat dalam skim pengubahan wang haram berkenaan.
Warga Malaysia, Seng Hok Ling dari Matlock, Derbyshire, mengaku bersalah di Mahkamah Crown Southwark atas tuduhan menyertai aktiviti pengubahan wang haram pada atau sebelum 23 April 2024.
Menurut kertas pertuduhan, beliau bertindak menguruskan urus niaga mata wang kripto bagi pihak Qian dengan mengetahui atau mengesyaki tindakannya akan membantu pemerolehan atau kawalan harta jenayah oleh pihak lain.
Antara 2014 hingga 2017, Qian dilaporkan mengetuai skim penipuan besar-besaran di China yang memperdayakan lebih 128,000 mangsa, sebelum menyimpan hasil curiannya dalam bentuk aset bitcoin.
Pengakuan bersalah wanita berusia 47 tahun itu dibuat selepas siasatan selama tujuh tahun terhadap rangkaian pengubahan wang haram antarabangsa, yang bermula selepas polis menerima maklumat mengenai pemindahan aset jenayah.
Menurut Detektif, Sarjan Isabella Grotto yang mengetuai siasatan, Qian mengelak daripada proses undang-undang selama lima tahun sebelum ditahan melalui siasatan rumit merentasi pelbagai negara.
Menurut polis, Qian melarikan diri dari China menggunakan dokumen palsu sebelum memasuki United Kingdom (UK) dan cuba membersihkan wang haram itu dengan membeli hartanah. -AGENSI










