RIYADH: Kredibiliti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semakin dipersoalkan susulan kelemahan Majlis Keselamatan (UNSC), konflik berterusan di Gaza serta tuduhan kegagalan bertindak.
Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric, mengakui kelemahan badan itu merosakkan ‘jenama PBB’.
“Kita melihat kekurangan kesatuan dialam UNSC, bukan sahaja mengenai Gaza, tetapi juga Ukraine dan Syria ketika rejim Bashar al-Assad berkuasa, serta Sudan. Semua ini menjejaskan jenama PBB,” katanya dalam program hal ehwal semasa Arab News, Frankly Speaking.
Beliau menegaskan pembaharuan giat dirancang, namun turut mengingatkan PBB tidak boleh dianggap sebagai entiti tunggal.
“Ia bukan sebuah organisasi di bawah perintah bersatu. Jika PBB boleh bercakap dengan satu suara, ia tidak menjadi PBB seperti yang kita kenali hari ini,” katanya.
Isu sama ada kempen ketenteraan Israel di Gaza boleh dikategorikan sebagai pembunuhan beramai-ramai turut menimbulkan pertikaian dalam PBB.
Suruhanjaya Siasatan PBB mengeluarkan laporan bersejarah pada 16 September yang menggunakan istilah itu, tetapi Setiausaha Agung, Antonio Guterres sendiri mengelak daripada menggunakannya.

Dujarric menjelaskan, kuasa untuk mengisytiharkan genosid hanya terletak pada badan kehakiman, bukan setiausaha agung.
Beliau berkata, PBB sepatutnya memberi tumpuan kepada keadaan sebenar di lapangan, dengan orang awam terus menjadi sasaran dan ramai penduduk kebuluran akibat bantuan tidak mencukupi.
Dujarric juga menolak tanggapan keengganan Guterres menggunakan istilah genosid bermaksud beliau bersikap pasif atau bersubahat.
“Sesiapa yang mengatakan setiausaha agung berdiam diri mengenai Gaza, sebenarnya tidak mendengar dengan teliti,” katanya.
KELEMAHAN UNSC
Mengulas gelombang pengiktirafan rasmi terhadap kenegaraan Palestin, Dujarric menolak dakwaan segelintir pengkritik, termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, langkah tersebut seakan memberi ganjaran kepada Hamas.
“Saya tidak faham hujah itu kerana matlamat Hamas bukanlah penyelesaian dua negara. Saya tidak melihat perkara itu dalam Piagam Hamas atau retorik mereka.
“Maka, langkah ini bukan hadiah kepada Hamas, sebaliknya pengiktirafan terhadap hak rakyat Palestin untuk memiliki negara mereka, sama seperti Israel,” katanya.
Walaupun Israel dan AS kekal menentang, kebanyakan pemimpin dunia kini melihat penyelesaian dua negara sebagai satu-satunya jalan ke arah keamanan serta kestabilan selepas perang Gaza.
Menurut Dujarric, kerja-kerja kemanusiaan harian yang dijalankan kakitangan PBB di Gaza dan Tebing Barat masih kritikal walaupun perbalahan diplomatik di UNSC terus mendominasi.
Katanya, Agensi Bantuan dan Kerja PBB (UNRWA) masih di barisan hadapan dalam usaha tersebut, meskipun berdepan serangan terhadap reputasi dan kekangan dana selepas Israel menuduh beberapa kakitangannya di Gaza terbabit dalam serangan 7 Oktober 2023.
Kelemahan UNSC yang didominasi kuasa veto lima anggota tetap iaitu China, Perancis, Russia, United Kingdom dan AS, turut mencetuskan gesaan pembaharuan dilakukan.
Dujarric sendiri mengakui sistem sedia ada tidak lagi mencerminkan realiti semasa.
“Kita memerlukan pembaharuan UNSC kerana ia adalah nadi utama PBB dari segi keamanan dan keselamatan.
“Ia masih mencerminkan dunia tahun 1945. Hakikat ia kekal begitu terus menjejaskan imej PBB di peringkat global,” katanya.
MODENKAN SISTEM PBB
Apabila ditanya sama ada PBB kini sudah hilang pengaruh dan gagal menunaikan janji selepas Perang Dunia Kedua untuk mengelakkan peperangan berulang, Dujarric mengakui terdapat kelemahan, namun menegaskan ketegasan Guterres tidak pernah luntur.
“Saya fikir UNSC tidak memenuhi peranan utamanya untuk menghentikan peperangan serta menjamin keamanan dan keselamatan.
“Kita mesti terus menyalakan harapan untuk menamatkan konflik. Setiausaha Agung akan memperjuangkan perkara ini, bukan sekadar bersuara, tetapi juga bertindak melalui pelbagai saluran sehingga ke hari terakhir mandatnya,” kata Dujarric.
Bagi Dujarric, kredibiliti masa depan PBB bukan sahaja bergantung pada iltizam Setiausaha Agung, tetapi juga kesediaan negara anggota untuk memodenkan sistem yang mereka cipta sendiri.
“Negara anggota perlu mencari jalan menyesuaikan PBB, organisasi yang mereka tubuhkan, agar lebih berkesan, lebih berwibawa, dan benar-benar mencerminkan dunia pada tahun 2025,” katanya.










