LONDON: Kerajaan United Kingdom (UK) mengumumkan kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) di Syria dikeluarkan daripada senarai organisasi pengganas yang diharamkan selepas ia menumbangkan rejim Bashar al-Assad pada Disember lalu dan mengambil alih pentadbiran negara tersebut.
Langkah itu dibuat beberapa bulan selepas Amerika Syarikat (AS) turut memaklumkan pada Julai akan menarik balik penyenaraian HTS sebagai organisasi pengganas.
HTS diharamkan oleh UK sejak tahun 2017 disebabkan kaitan kumpulan itu sebelum ini dengan Al-Qaeda.
“Keputusan kerajaan untuk mengeluarkan HTS daripada senarai organisasi pengganas membolehkan hubungan lebih rapat dengan kerajaan baharu Syria,” menurut kenyataan bersama oleh Kementerian Luar dan Dalam Negeri Britain.
Pada Disember lalu, satu pakatan bersenjata yang diketuai oleh pemimpin HTS, Ahmed al-Sharaa menggulingkan Bashar, sekali gus menamatkan lebih setengah abad pemerintahan kuku besi keluarga Assad.
Kerajaan UK menjelaskan perintah pemansuhan tersebut yang dibentangkan di Parlimen juga akan membantu London bekerjasama dengan kerajaan baharu Syria bagi menghapuskan program senjata kimia rejim Assad.
HTS yang sebelum ini dikenali sebagai Jabhat al-Nusra, pernah menjadi cabang rasmi Al-Qaeda di Syria sebelum memutuskan hubungan dengan kumpulan jihad itu pada 2016 dalam usaha memperbaiki imejnya.
Menjelang 2017, HTS menguasai sebahagian besar wilayah Idlib di barat laut Syria dan menubuhkan pentadbiran awam sendiri meskipun berdepan tuduhan pelanggaran hak asasi terhadap penentang.
Pada Januari lalu, selepas kejatuhan Bashar, kerajaan sementara Syria mengumumkan pembubaran semua kumpulan bersenjata termasuk HTS yang kemudiannya diserap ke dalam institusi keselamatan baharu seperti pasukan polis nasional.
Kerajaan sementara pimpinan Sharaa kini giat memulihkan hubungan diplomatik dengan beberapa negara lain.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Sharaa yang kini Presiden sementara dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Presiden AS, Donald Trump dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
Bekas Menteri Luar Britain, David Lammy turut melawat Syria pada Julai lalu dan mengumumkan pemulihan hubungan diplomatik penuh dengan Damsyik lebih sedekad selepas hubungan itu diputuskan.
Pada 2011, Britain merupakan antara negara pertama yang mengiktiraf kumpulan pemberontak sebagai kerajaan sah Syria selepas tindakan keras Bashar terhadap penunjuk perasaan pro-demokrasi mencetuskan perang saudara.
Pada 2018, UK bersama AS melancarkan serangan udara terhadap kemudahan senjata kimia Syria sebagai tindak balas terhadap serangan gas beracun yang didakwa dilakukan oleh tentera Assad. -AFP










