WASHINGTON: Tiga pesawat pengebom strategik B-52H Stratofortress milik Amerika Syarikat (AS) terbang berhampiran ruang udara Venezuela, dalam satu tindakan yang disifatkan penganalisis sebagai ‘amaran keras’ terhadap kerajaan Nicolas Maduro.
Data penjejakan penerbangan menunjukkan ketiga-tiga pesawat itu berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Barksdale di Shreveport, Louisiana, sekitar pukul 2.50 pagi waktu tempatan.
Penerbangan itu dilihat melalui Teluk Mexico sebelum melintasi antara Mexico dan Cuba, lalu menuju ke kawasan berhampiran Venezuela dan berlegar di ruang udara Laut Caribbean.
Misi misteri berkenaan muncul ketika Presiden AS, Donald Trump memperhebat tekanan terhadap pemerintahan Maduro, termasuk menawarkan ganjaran AS$50 juta (RM211 juta) bagi penangkapan presiden itu, melancarkan serangan ke atas kapal penyeludupan dadah serta memperkukuh kehadiran ketenteraan di rantau tersebut.
Bagaimanapun, pihak berkuasa AS masih belum memberi penjelasan rasmi mengenai tujuan sebenar penerbangan pesawat itu pada Rabu lalu.
Langkah itu juga menyusul selepas amaran Venezuela AS mungkin sedang bersiap sedia untuk melancarkan pencerobohan berskala penuh terhadap negara tersebut.
Pesawat pengebom B-52H itu mampu terbang pada kelajuan subsonik tinggi pada altitud sehingga 50,000 kaki dan dicipta ketika era Perang Dingin sebagai pesawat jarak jauh yang berupaya membawa muatan letupan besar ke mana-mana lokasi di dunia.
Misi berkenaan berlaku kurang sehari selepas Trump mengumumkan Setiausaha Perang AS mengarahkan serangan ‘kinetik maut’ terhadap sebuah kapal yang didakwa membawa pengedar dadah di perairan antarabangsa berhampiran Venezuela.
“Serangan itu dijalankan di perairan antarabangsa dan enam lelaki yang dikenal pasti sebagai pengganas dadah terbunuh dalam operasi tersebut. Tiada anggota tentera AS yang cedera,” tulis Trump di laman Truth Social.
Duta Venezuela ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Samuel Moncada mengadakan mesyuarat tergempar dengan Majlis Keselamatan PBB pada Jumaat lalu, memberi amaran serangan-serangan AS ke atas kapal negara berkenaan merupakan langkah awal ke arah pencerobohan bersenjata.