Skandal krim pelindung matahari Australia meruncing, 18 produk ditarik balik

Skandal krim pelindung matahari Australia meruncing, 18 produk ditarik balik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Skandal krim pelindung matahari di Australia semakin meruncing apabila sebanyak 18 produk kini ditarik balik daripada pasaran susulan kebimbangan terhadap tahap keselamatannya.

Analisis oleh sebuah kumpulan advokasi pengguna pada Jun lalu mendapati beberapa jenama popular dan mahal gagal memberikan perlindungan seperti yang didakwa pengeluar.

Antara produk terbabit ialah Ultra Violette Lean Screen Skinscreen yang sepatutnya menawarkan faktor perlindungan matahari (SPF) 50+, namun ujian hanya menunjukkan tahap perlindungan SPF 4. Produk itu telah ditarik balik secara sukarela pada Ogos.

Siasatan oleh Pentadbiran Barangan Terapeutik (TGA) kini turut memberi amaran berhubung kira-kira 20 lagi krim pelindung matahari daripada jenama lain yang menggunakan formula asas sama, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius terhadap sebuah makmal ujian.

“Tahap perlindungan SPF bagi formula asas ini tidak mungkin melebihi 21, malah sesetengah produk mungkin serendah SPF 4,” kata TGA dalam satu kenyataan terkini.

Daripada 21 produk yang dinamakan, lapan telah ditarik balik atau dihentikan pengeluaran sepenuhnya, manakala jualan 10 produk lagi digantung. Dua lagi masih dalam proses semakan.

Australia merekodkan kadar barah kulit tertinggi di dunia dengan anggaran dua daripada tiga rakyat dijangka menjalani sekurang-kurangnya satu prosedur pembuangan barah kulit sepanjang hayat mereka menyebabkan negara itu memiliki peraturan paling ketat terhadap produk pelindung matahari.

Skandal ini mencetus kemarahan besar pengguna di Australia dan pakar memberi amaran ia mungkin membawa kesan global, susulan masalah dikesan bukan sahaja pada pembuatan krim tetapi juga integriti makmal ujian yang menentukan tahap SPF.

Pengeluar formula asas terbabit, Wild Child Laboratories Pty Ltd, menghentikan pengeluaran berikutan isu ini.

Namun Ketua Eksekutifnya, Tom Curnow, menegaskan pihak TGA tidak menemui sebarang masalah pada fasiliti pengeluaran mereka.

“Perbezaan keputusan ujian ini adalah sebahagian daripada isu lebih besar yang melibatkan seluruh industri,” katanya.

TGA sebelum ini memaklumkan sedang menilai semula prosedur ujian SPF yang dianggap sangat subjektif dan dalam kemas kini Selasa lalu, pihak berkuasa itu menyatakan kebimbangan serius terhadap ujian yang dijalankan oleh makmal Princeton Consumer Research Corp (PCR Corp) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

“TGA menyedari ramai pengeluar yang menggunakan formula asas ini bergantung kepada keputusan ujian oleh PCR Corp untuk menyokong tuntutan SPF mereka,” tambah kenyataan itu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×