BUENOS AIRES: Sekumpulan saintis Argentina menemui rangka fosil satu daripada spesies dinosaur tertua di dunia di pergunungan Andes, menurut kenyataan Agensi Penyelidikan Saintifik dan Teknikal Kebangsaan Argentina (CONICET), semalam.
Penemuan itu dibuat oleh pasukan ahli paleontologi yang diketuai oleh institut berkenaan di kawasan pergunungan barat laut Argentina pada ketinggian kira-kira 3,000 meter dari paras laut.
Fosil berkenaan merupakan hampir keseluruhan rangka seekor reptilia kecil berleher panjang yang dinamakan Huayracursor Jaguensis, termasuk sebahagian tengkorak, tulang belakang lengkap hingga ke ekor, serta anggota hadapan dan belakang yang hampir utuh.
Menurut CONICET, penemuan bersejarah itu telah diterbitkan dalam jurnal saintifik antarabangsa Nature, dengan para penyelidik menyatakan ia mampu membuka ruang baharu dalam kajian evolusi makhluk prasejarah.
Salah seorang penyelidik, Agustin Martinelli, berkata Huayracursor dipercayai hidup antara 230 hingga 225 juta tahun lalu, menjadikannya antara dinosaur paling awal yang wujud di muka bumi.
“Spesies ini hidup pada penghujung zaman Trias, iaitu tempoh di mana dinosaur pertama dan nenek moyang mamalia mula muncul,” jelasnya.
Walaupun Huayracursor Jaguensis berasal daripada kumpulan dinosaur herbivor berleher panjang yang kelak berkembang menjadi gergasi seperti Brachiosaurus, saintis mendapati saiz spesies itu jauh lebih kecil, hanya sekitar dua meter panjang dengan anggaran berat kira-kira 18 kilogram.
Penemuan itu sekali gus dianggap sebagai bukti penting dalam memahami asal-usul dan evolusi awal spesies dinosaur di benua Amerika Selatan. —AGENSI