RABAT: Rusuhan ganas tercetus di beberapa bandar Maghribi malam semalam selepas beberapa hari protes besar-besaran yang menuntut reformasi dalam sektor kesihatan awam dan pendidikan, lapor media tempatan.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan sekumpulan pemuda bertopeng di bandar Inezgane, berhampiran Agadir, membaling batu ke arah pasukan keselamatan, membakar kawasan berhampiran pusat beli-belah serta merosakkan sebuah pejabat pos.
Insiden serupa turut dilaporkan berlaku di Ait Amira, Beni Mellal dan Oujda di timur laut negara itu bagaimanapun, tiada laporan rasmi mengenai kecederaan setakat ini.
Protes yang digerakkan oleh kumpulan tanpa identiti jelas dikenali sebagai GenZ 212 itu memasuki hari keempat, namun kali ini menyaksikan insiden keganasan pertama sejak ia bermula.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook, kumpulan itu melahirkan kekesalan terhadap tindakan merusuh dan merosakkan harta awam serta swasta.
Mereka turut menggesa para penyokong agar kekal aman dan tidak menjejaskan tuntutan sah yang diperjuangkan.
Peguam bela, Souad Brahma berkata, pihak pendakwa raya akan mendakwa 37 orang kerana terbabit dalam protes tersebut di mana seramai 34 orang dibicarakan dengan ikat jamin manakala tiga lagi masih ditahan.
Menurut Persatuan Hak Asasi Manusia Maghribi (AMDH), lebih 200 penunjuk perasaan, kebanyakannya golongan muda telah ditahan dalam tiga hari lalu ketika menyertai protes di Rabat bagaimanapun, sebahagian besar daripada mereka dibebaskan semula.
Di Casablanca, pendakwa raya mengarahkan siasatan ke atas 18 individu kerana didakwa menghalang lalu lintas ketika protes hujung minggu lalu dan enam remaja di bawah umur turut dirujuk ke mahkamah khas.
Sementara itu, dalam kenyataan bersama, parti-parti gabungan kerajaan Maghribi menegaskan mereka mendengar dan memahami tuntutan sosial anak muda dan bersedia memberikan respons secara positif serta bertanggungjawab.
Seruan awal mengadakan protes dibuat oleh GenZ 212 menerusi aplikasi Discord dengan mengemukakan isu berkaitan kesihatan, pendidikan dan usaha membanteras rasuah.
Tuntutan rakyat semakin memuncak selepas laporan kematian lapan wanita hamil di sebuah hospital awam di Agadir mencetuskan kemarahan meluas terhadap sistem kesihatan negara itu. -AFP










