WASHINGTON: Penutupan sebahagian kerajaan persekutuan Amerika Syarikat (AS) memasuki hari keenam pada Isnin, dengan Presiden Donald Trump dan Parti Republikan masih buntu mencapai persetujuan bersama Demokrat di Kongres, sementara Rumah Putih memberi amaran akan melaksanakan pemberhentian besar-besaran kakitangan kerajaan sekiranya krisis berlanjutan.
Senat yang dikuasai Republikan dijadual mengundi dua rang undang-undang (RUU) berbeza bagi membiayai agensi persekutuan, satu versi RUU perbelanjaan sementara yang diluluskan Dewan Perwakilan untuk melanjutkan operasi kerajaan sehingga 21 November, dan satu lagi cadangan alternatif daripada Demokrat.
Namun, kedua-dua usul dijangka gagal memperoleh 60 undi yang diperlukan untuk diluluskan.
Ketika ditanya pada Ahad bila pemberhentian pekerja kerajaan akan bermula, Trump menjawab, ia sedang berlaku sekarang sambil menyalahkan Demokrat atas kebuntuan tersebut tanpa mengulas lanjut mengenai perancangan pemberhentian.
Rumah Putih sebelum ini memberi amaran bahawa ribuan pekerja kerajaan berisiko kehilangan pekerjaan sekiranya penutupan berterusan.
Pengarah bajet Trump, Russell Vought, telah membekukan sekurang-kurangnya AS$28 bilion (RM118 bilion) dana infrastruktur yang diperuntukkan kepada negeri-negeri seperti New York, California dan Illinois, kawasan majoriti penyokong Demokrat dan pengkritik tegar presiden.
Dalam masa yang sama, Trump dan sekutunya menggunakan media sosial untuk mengejek Demokrat dengan video ‘deepfake’ berunsur stereotaip Mexico, yang digambarkan oleh Naib Presiden JD Vance sebagai gurauan semata-mata.
Namun, pemimpin Demokrat menolak taktik keras Rumah Putih itu. Ketua minoriti Dewan Rakyat, Hakeem Jeffries, berkata pendekatan Trump tidak bertanggungjawab dan menjauhkan lagi rundingan.
“Kita lihat presiden menggunakan video palsu, Dewan membatalkan undian, dan beliau sendiri bermain golf semalam. Itu bukan cara memimpin negara,” katanya kepada program Meet the Press di NBC.
Penutupan kali ini merupakan yang ke-15 sejak 1981 dan kini menyamai tempoh enam hari penutupan pada tahun 1995, yang berlaku selepas Presiden Bill Clinton ketika itu menolak rang undang-undang perbelanjaan Republikan.
Rekod penutupan terpanjang berlaku pada 2018 hingga 2019, juga di bawah pentadbiran Trump, yang berlangsung selama 35 hari. -AGENSI










