WASHINGTON: Program bantuan makanan utama kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang membantu lebih enam juta ibu berpendapatan rendah dan anak kecil kini berdepan risiko terhenti sepenuhnya dalam tempoh dua minggu jika penutupan kerajaan berlanjutan, menurut pakar.
Program bernilai AS$8 billion (RM33.7 billion) dikenali sebagai Program Pemakanan Tambahan Khas untuk Wanita, Bayi dan Kanak-kanak (WIC) itu menyediakan baucar bagi membeli susu formula bayi, buah-buahan dan sayur-sayuran segar, susu rendah lemak serta makanan berkhasiat lain yang sering sukar dicapai oleh keluarga berpendapatan rendah.
Penutupan kerajaan yang bermula Rabu lalu bertepatan dengan permulaan tahun fiskal baharu, menyebabkan program seperti WIC yang bergantung sepenuhnya kepada pembiayaan tahunan kerajaan kini hampir kehabisan dana.
Buat masa ini, WIC masih beroperasi hasil dana kecemasan berjumlah AS$150 juta (RM632.2 juta), namun pakar memberi amaran bahawa dana itu akan habis dalam masa terdekat.
Selepas itu, negeri-negeri mungkin perlu menggunakan dana mereka sendiri bagi meneruskan bantuan sementara menunggu bajet baharu diluluskan, namun tidak semua negeri mampu berbuat demikian.
“Kami masih boleh bertahan satu hingga dua minggu lagi. Selepas itu, kami sangat bimbang,” kata Ali Hard, pengarah dasar Persatuan WIC Kebangsaan.
WIC terbukti membantu keluarga mendapatkan makanan sihat dan seimbang. Antara penerima, Taylor Moyer, seorang ibu kepada tiga anak dari Virginia Beach berkata, bantuan itu menjadi penyelamat sejak kelahiran anak pertamanya sembilan tahun lalu.
“Ada masa saya duduk di rumah dan tertanya-tanya bagaimana saya mahu beri makan anak-anak. Dengan kad WIC, saya boleh beli beras, avokado, telur dan sediakan makanan seimbang yang sihat,” katanya.
Selain bantuan makanan, WIC turut menyediakan khidmat nasihat kepada ibu yang mengalami kesukaran menyusukan anak atau berdepan masalah pemakanan kanak-kanak.
Penutupan kerajaan berlaku selepas Demokrat dan Republikan gagal mencapai kata sepakat dalam meluluskan pelan perbelanjaan baharu. -AGENSI










