Pelajar India ditahan sertai tentera Russia demi elak tuduhan dadah

Pelajar India ditahan sertai tentera Russia demi elak tuduhan dadah

SAHIL MAJOTHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Ukraine menahan seorang warga India yang didakwa berperang bersama tentera Russia, kes pertama seumpamanya melibatkan rakyat negara berkenaan dalam perang yang masih berterusan itu.

Sahil Majothi, 22 tahun, berasal dari negeri Gujarat, India, dilaporkan terbang ke Russia dua tahun lalu untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan komputer. Namun menurut ibunya, dia dikenakan tuduhan palsu berkaitan dadah pada April lalu.

Menurut sebuah video yang dikeluarkan oleh tentera Ukraine pada Selasa, Majothi dilaporkan menyertai tentera Russia bagi mengelak hukuman penjara atas tuduhan itu.

Kementerian Luar India memaklumkan sedang menyiasat kes tersebut dan belum menerima sebarang makluman rasmi daripada Ukraine.

Dalam temu bual bersama BBC Gujarati, ibu Majothi, Hasina Majothi berkata, anaknya tiba di Russia pada Januari 2024 dan menamatkan kursus bahasa selama tiga bulan di St Petersburg sebelum berpindah ke Moscow untuk ke kolej, sambil bekerja sambilan sebagai penghantar barangan dapur.

Hasina mendakwa seseorang meletakkan dadah di dalam bungkusan yang dihantar anaknya, menyebabkan polis menahannya dan mendakwa dia memiliki bahan terlarang.

Menurutnya lagi, Majothi ditahan selama enam bulan dan kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun. 

Keluarganya mengupah peguam persendirian di Russia, namun tidak mengetahui bila atau bagaimana dia direkrut ke dalam tentera.

“Saya tidak tahu bagaimana dia boleh berada di Ukraine. Saya hanya tahu selepas melihat video itu tular,” kata Hasina.

Dalam video yang disiarkan oleh Briged Bermekanikal ke-63 tentera Ukraine, Majothi mendakwa dia diberi pilihan sama ada menyertai tentera Russia dengan bayaran atau menjalani hukuman penjara.

Dia turut berkata dijanjikan bayaran antara 100,000 hingga lebih sejuta rubel (RM5,175 hingga RM51,755), tetapi tidak pernah menerima sebarang wang. 

Selepas 15 hari latihan pada September 2024, dia dihantar ke medan perang setahun kemudian pada 30 September 2025.

Namun, sehari kemudian, dia bergaduh dengan komandernya dan berpisah daripada kumpulannya, sebelum menyerah diri kepada tentera Ukraine.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN