LIMA: Mahkamah agung Peru pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun, lima bulan dan 15 hari terhadap bekas presiden berhaluan kiri, Pedro Castillo, selepas beliau didapati bersalah cuba membubarkan Kongres dan memerintah melalui dekri pada Disember 2022.
Castillo, sering digelar sebagai ‘presiden golongan miskin’ kerana latar belakangnya sebagai guru sekolah luar bandar dan tidak pernah memegang jawatan pilihan raya sebelum ini, telah dipecat oleh Kongres dan ditahan pada hari yang sama selepas percubaan rampasan kuasa itu gagal.
Sepanjang 16 bulan pentadbirannya, beliau kerap berdepan pertikaian dengan Kongres yang dikuasai pihak pembangkang.
Keputusan itu diumumkan sehari selepas seorang lagi bekas presiden berhaluan kiri, Martín Vizcarra, dijatuhi hukuman 14 tahun penjara atas kes rasuah ketika berkhidmat sebagai gabenor wilayah.
Vizcarra kini menyertai dua bekas presiden lain yang sudah dipenjarakan di sebuah penjara khas untuk bekas pemimpin negara di Lima: Ollanta Humala (2011-2016) dan Alejandro Toledo (2001-2006). Castillo, 56, turut ditahan di fasiliti sama sepanjang perbicaraannya.
Castillo, bekas aktivis kesatuan yang memenangi pilihan raya pada 2021 dengan janji membela golongan miskin, mengambil langkah mengejut untuk membubarkan Kongres bagi mengelakkan proses pemecatan berhubung dakwaan rasuah. Namun tindakannya itu gagal sama sekali selepas beberapa anggota kabinetnya sendiri berpaling tadah.
Beliau ditahan ketika dalam perjalanan menuju ke kedutaan Mexico bersama keluarganya untuk mencari suaka.
Castillo dituduh melakukan pemberontakan, penyalahgunaan kuasa dan mengganggu ketenteraman awam, namun dua tuduhan terakhir itu digugurkan pada Khamis.
Pihak pendakwa sebelum ini menuntut hukuman penjara 34 tahun.
Perbicaraan selama lapan bulan itu bertambah dramatik awal bulan ini apabila bekas perdana menterinya, Betssy Chávez yang turut didakwa diberikan suaka oleh kedutaan Mexico.
Peru kemudian memutuskan hubungan diplomatik dengan Mexico dan tidak menolak kemungkinan menyerbu kedutaan Mexico untuk menahan Chávez.
Penahanan dan pemecatan Castillo telah mencetuskan protes besar-besaran pada 2022 dalam kalangan penyokong luar bandarnya. Tindakan keras pihak keselamatan meragut sekurang-kurangnya 50 nyawa.
Penggantinya yang tidak popular, bekas naib presiden Dina Boluarte, mengetuai negara itu selama 22 bulan penuh pergolakan dengan krisis keselamatan yang mendalam, sebelum turut dipecat pada Oktober lalu.










