BALTIMORE: Seorang pelajar sekolah tinggi di daerah Baltimore, Amerika Syarikat digari oleh polis selepas sistem kecerdasan buatan (AI) tersalah mengesan bungkusan kerepek Doritos miliknya sebagai senjata api.
Kejadian berlaku di luar Sekolah Tinggi Kenwood pada malam Isnin lalu apabila Taki Allen, pelajar sekolah berkenaan menikmati snek bersama rakan-rakannya sebelum didatangi beberapa anggota polis bersenjata.
“Pada mulanya saya tidak tahu apa yang berlaku sehingga mereka berjalan ke arah saya sambil menjerit ‘baring di tanah’. Saya terkejut dan tidak faham apa yang berlaku,” katanya ketika ditemu bual oleh stesen televisyen WBAL-TV 11 News.
Allen memaklumkan dia diarahkan berlutut, digari dan diperiksa, namun polis tidak menemui sebarang senjata.
Menurutnya, pihak berkuasa kemudian menunjukkan gambar yang dihantar oleh sistem pengesanan AI yang menyebabkan laporan kecemasan dibuat.
“Saya hanya pegang bungkusan Doritos. Mereka kata gaya tangan saya nampak seperti memegang pistol,” ujarnya.
Sekolah-sekolah tinggi di daerah Baltimore mula menggunakan sistem pengesanan senjata berasaskan kamera dan AI sejak tahun lalu. Sistem tersebut akan menghantar amaran kepada pihak sekolah dan polis jika mengesan imej yang disyaki sebagai senjata.
Dalam surat yang dihantar kepada keluarga pelajar, sekolah menjelaskan mereka memahami kejadian itu amat mengganggu perasaan pelajar yang terlibat serta rakan-rakan yang menyaksikan insiden berkenaan.
Polis Baltimore berkata, pegawai dari Presint 11-Essex bergegas ke lokasi selepas menerima laporan mengenai individu mencurigakan membawa senjata.
“Setelah pemeriksaan dijalankan, didapati individu terbabit tidak memiliki sebarang senjata,” katanya.










